My Add

Saturday 6 July 2013

UMNO Kelantan bantu BN menang di Kuala Besut

JELI, SABTU, 06 Julai, 2013: Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan bekerja keras memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, buat peringkat permulaan, mulai esok 50 petugas termasuk penceramah akan dihantar untuk membantu UMNO Bahagian Besut menghadapi pilihan raya kecil itu.

"DUN Kuala Besut berjiran dengan Kelantan khususnya Pasir Puteh, sudah pasti UMNO Kelantan akan memainkan peranan besar dalam memastikan BN menang pada pilihan raya kecil itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) di Sekolah Kebangsaan Batu Melintang di sini, hari ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian anggota DUN berkenaan, Dr. A. Rahman Mokhtar akibat kanser paru-paru pada 26 Jun lepas.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof mengumumkan tarikh penamaan calon pada 12 Julai manakala hari pengundian pada 24 Julai.

Sambil menjelaskan program ceramah yang bakal diadakan akan disesuaikan dengan bulan Ramadan, Mustapa berharap sempena bulan mulia itu suasana kempen tidak mencetuskan ketegangan.

Mengenai program itu, Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, program yang membawa perkhidmatan kerajaan kepada penduduk di kawasan pedalaman khususnya di Batu Melintang, Jeli, amat berfaedah kepada masyarakat.

Mustapa, yang juga anggota Parlimen Jeli berkata, penduduk di kawasan pedalaman tiada akses mudah kepada perkhidmatan kerajaan termasuk masalah kenderaan untuk ke bandar, dan inisiatif itu membuktikan kerajaan sentiasa peka tentang kehidupan mereka.

Mobile CTC dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang pada 1 Mac lepas, dan Batu Melintang adalah lokasi ke-15 dan yang pertama di Kelantan bagi program itu.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah membuat atau menggantikan MyKad, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan mata dan pemberian percuma cermin mata, khidmat nasihat keusahawanan, Pasar Bergerak 1Malaysia selain pameran oleh jabatan dan agensi kerajaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment