My Add

Monday 29 July 2013

Zambry tekad balas kepercayaan rakyat

 * ZAMBRY Abd. Kadir (tiga dari kanan) memeriksa barangan keperluan dapur yang disampaikan kepada warga emas, golongan miskin dan OKU di Dewan Serbaguna Batu 3, Segari, Lumut, Perak, semalam. - BERNAMA
LUMUT, AHAD, 28 Julai, 2013: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bertekad untuk terus memperkuatkan UMNO Perak sebagai menghargai kepercayaan pucuk pimpinan untuk beliau terus menerajui kepemimpinan UMNO negeri.

Menurutnya, beliau menyedari betapa kepercayaan tersebut merupakan amanah yang harus dilaksanakan sebaik mungkin termasuk meneruskan agenda transformasi supaya parti itu terus menjadi wadah pilihan rakyat.

"Amanah yang diberikan ini menunjukkan kepercayaan pucuk pimpinan yang amat kukuh terhadap saya, maka sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, saya berazam terus membuat yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor di Teluk Muroh, di sini hari ini.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru mengumumkan pelantikan enam pengerusi baharu Badan Perhubungan UMNO negeri iaitu Perlis, Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Johor.

Tujuh lagi penyandang pengerusi badan perhubungan UMNO negeri termasuk Zambry dikekalkan.

Menurut Zambry, beliau juga berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengekalkan gandingannya bersama Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Sementara itu, ditanya mengenai langkah Kerajaan Negeri Melaka yang mahu memansuhkan lesen hiburan keluarga, Zambry berkata, kerajaan negeri sememangnya mempunyai polisi yang jelas dalam memantau premis seumpama itu di seluruh Perak.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri melalui setiap jabatan dan agensi berkenaan memandang serius terhadap sebarang aktiviti penyalahgunaan lesen berkenaan.

"Jika ada aduan (penyalahgunaan lesen hiburan keluarga), kita akan melakukan serbuan. Kita tidak akan bertolak ansur," tegas beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment