My Add

Friday 18 April 2014

EUMCCI promosi Malaysia di Eropah

Oleh YULPISMAN ASLI

 * FEMIM Fautch (kanan) bersalaman dengan Luc Vandebon selepas melancarkan buku EU-Malaysia Business di Forum Perdagangan dan Pelaburan EU-Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Abdul Nazir Mohamed
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 April, 2014: Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI) mahu mempromosikan Malaysia sebagai `pintu masuk' bagi pelabur-pelabur dari rantau Eropah yang ingin menanam modal di negara rantau ASEAN.

Pengerusinya, Fermin Fautsch berkata, Malaysia mempunyai kedudukan yang strategik untuk berperanan sebagai pintu masuk, selain memiliki beberapa kelebihan berbanding negara jiran, yang mampu menarik kedatangan pelabur Eropah ke negara ini.

Beliau berkata, antara kelebihan itu ialah tenaga kerja mahir, infrastruktur yang baik, ekonomi seimbang dan persekitaran mesra pelabur yang disediakan oleh kerajaan negara ini.

"Semua aspek ini penting kepada pelabur yang mahu melabur di sesebuah negara. Bagaimanapun, Malaysia akan berdepan saingan negara serantau seperti Singapura yang lebih membangun ekonominya, selain Indonesia, Thailand dan Vietnam yang sedang pesat membangun dengan jumlah populasi yang ramai.

"Negara-negara ini turut ingin menarik pelabur, dan pelabur akan melihat negara mana yang dapat menawarkan peluang pelaburan terbaik dan Malaysia dilihat kehadapan melalui langkah-langkah diambil kerajaan Malaysia dengan pelbagai tawaran menarik untuk pelabur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Forum EUMCCI 2014 yang dirasmikan oleh Duta EU, Luc Vandebon yang turut melancarkan buku EU-Malaysia Business di sini hari ini.

Ditanya bagaimana Malaysia mampu berdepan saingan itu, Fautsch berkata, ia bergantung kepada tawaran-tawaran yang disediakan oleh kerajaan sebagai contoh, pelaburan dalam sektor teknologi, infrastruktur serta automotif di mana Malaysia dilihat berdepan saingan Thailand.

"Atas sebab itu kita menyarankan kerajaan Malaysia supaya mempromosikan kelebihan-kelebihan yang ada di negara ini untuk menarik pelabur. Syarikat ibarat sebuah pasar raya di mana ia tidak mampu menyediakan semua keperluan, jadi jika kita ketengahkan kelebihan dan keistimewaan kita, pasti dapat menarik pelabur dan saya percaya pendekatan itu sedang dilakukan oleh kerajaan Malaysia.

"Antara sektor di mana Malaysia mempunyai kelebihan ialah perkhidmatan, minyak dan gas serta teknologi hijau yang kini menjadi tumpuan kerajaan. Ini antara sektor utama yang perlu diketengahkan bagi menarik kemasukan pelabur ke negara ini," katanya.

Menurut Fautsch, Malaysia yang merupakan antara rakan dagang utama EU, pastinya menerima tempias daripada proses pemulihan ekonomi yang sedang dialami oleh negara-negara kesatuan itu selepas berlaku kelembapan dan pertumbuhan mendatar beberapa tahun sebelum ini.

Malaysia mencatat nilai dagangan sebanyak RM135.79 bilion dengan negara EU pada tahun lalu, meningkat sebanyak 6.3 peratus berbanding RM127.69 bilion pada 2012. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment