My Add

Friday 25 April 2014

ICAO sahkan klia2 selamat

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

 * HISHAMMUDDIN Tun Hussein (dua, kiri) bersama Azharuddin Abdul Rahman (tiga, kiri) menyaksikan dua pesawat pertama MH402 dan MH604 mendarat di landasan klia2 ketika menghadiri Majlis Penyerahan Menara Kawalan Trafik Udara, klia2 di Sepang, semalam.
SEPANG, khAMIS, 24 April, 2014: Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengesahkan terminal khusus bagi penerbangan kos rendah terbesar di dunia, klia2 selamat dan mematuhi piawaian antarabangsa bagi memulakan operasi pertamanya pada 2 Mei ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau telah menerima laporan daripada audit teknikal bebas ICAO baru-baru ini yang mengesahkan lapangan terbang itu mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa.

“Tahap keselamatan di klia2 tetap menjadi keutamaan kami dan hari ini saya mengesahkan siasatan bebas yang dibuat baru-baru ini atas arahan Jemaah Menteri oleh badan antarabangsa ICAO menunjukkan lapangan terbang ini selamat dan memenuhi standard piawaian antarabangsa.

“Pada masa yang sama, laporan yang telah disahkan oleh ICAO ini juga telah dibawa ke pengetahuan Kabinet semalam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan Menara Kawalan Trafik Udara (ATCT) klia2 antara Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad.

Menurut Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) juga telah dikeluarkan terhadap lapangan terbang itu manakala sijil pengesahan dari pihak Kesediaan Perpindahan Operasi Lapangan Terbang (ORAT) masih berjalan sehingga hujung bulan ini.

Selain itu beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat juga telah membuat pemeriksaan akhir di lapangan terbang tersebut pada 10 April lalu.

“Pemeriksaan oleh ORAT telah dilakukan pada 12 April lalu, pemeriksaan permulaan audit dan teknikal dibuat dua hari kemudian manakala laporan CCC dan laporan awal audit dan teknikal ICAO diperoleh masing-masing pada 14 April dan 18 April lalu.

“Kemudian pada hari esok dan Ahad ini pula masing-masing akan berlangsung hari pelabur dan terbuka bersama pelanggan sebelum lapangan terbang ini beroperasi seperti yang dijadualkan pada 2 Mei ini," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, selepas ini satu tarikh baharu akan ditetapkan bagi diadakan upacara perasmian pembukaan lapangan terbang tersebut.

“Biarpun sejak beberapa minggu lalu kita berdepan dengan situasi sukar, peristiwa bersejarah ini perlu diraikan sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menyiapkan projek ini.

“Walaupun ramai pihak yang tidak yakin kita mampu menyiapkannya, kini kita telah membuktikan tanggapan itu salah dan sekali gus membanggakan saya sebagai menteri yang bertanggungjawab. Berhubung pembukaan rasmi saya jangkakan akan dibuat sebulan selepas tarikh klia2 beroperasi iaitu pada 2 Jun ini," katanya.

Hishammuddin berkata, operasi pertama pesawat di lapangan terbang tersebut bermula pada pukul 12.05 tengah malam pada 2 Mei ini di mana terdapat pesawat akan berlepas dan mendarat di klia2. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment