My Add

Thursday 24 April 2014

TLDM selamatkan dua nelayan selepas bot rosak

SANDAKAN, KHAMIS, 24 April, 2014: Dua nelayan yang terkandas lebih lapan jam di perairan Pulau Langkayan selepas enjin bot mereka rosak, diselamatkan oleh kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Laksamana Tan Pusmah dalam kejadian 3.15 petang semalam.

Pegawai Memerintah kapal itu, Komander Mohamad Zamri Ismail berkata, mereka mengesan isyarat kecemasan dua lelaki tersebut ketika dalam pelayaran dari Kota Kinabalu ke Pangkalan TLDM Sandakan.

Ketika dihampiri, bot nelayan terbabit yang berdaftar di Sandakan telah berada di kawasan perairan Filipina, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohamad Zamri, kedua-dua nelayan tersebut yang dikenal pasti sebagai Moyong Aminuddin, 75 dan Holdin Abduraham, 34, berasal dari Pulau Berhala di sini.

Mereka mendakwa bot mereka mengalami kerosakan pada pukul 7 pagi ketika dalam perjalanan mengambil hasil laut di Pulau Langkayan, katanya.

Menurut Mohamad Zamri mereka kemudian menunda bot nelayan terbabit ke Jeti TLDM Sandakan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment