My Add

Saturday, 3 May 2014

Bukit Gelugor: MCA serah kepada PM

ALOR SETAR, JUMAAT, 2 Mei, 2014: MCA menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon yang layak bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang, 25 Mei ini.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, walaupun MCA sudah mempunyai senarai calon untuk pilihan raya tersebut namun keputusan muktamad akan ditentukan melalui perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

“Kita akan berbincang dengan Perdana Menteri yang akan memperincikan keputusannya kelak. Ini terpulang kepada pucuk pimpinan kerana kita mempunyai cara tersendiri dalam menentu dan memutuskan apa juga keputusan. Barisan Nasional (BN) ada saluran untuk kita bincang dan tolak ansur.

“Kita bertanding atas tiket BN, oleh itu BN yang akan buat keputusan yang akan dibincangkan kemudian," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat bersama MCA Kedah dan pertubuhan Cina di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Mei ini sebagai hari mengundi PRK Bukit Gelugor selepas Ahli Parlimen kawasan itu Karpal Singh terbunuh dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lepas.

Penamaan calon ditetapkan pada 12 Mei manakala pengundian awal pada 21 Mei.

Mendiang Karpal Singh, yang juga bekas pengerusi DAP memenangi kerusi itu dengan majoriti 41,778 menewaskan calon BN dari MCA, Teh Beng Yeam pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment