My Add

Saturday, 3 May 2014

FAMA sasar kenaikan RM10 juta nilai eksport buah mangga

 * BADRUDDIN Amiruldin (dua dari kanan) bersama Zuraidah Mohd. Saad (kanan) melihat buah mangga sewaktu melakukan simbolik Majlis perasmian Jom Makan Buah Mangga di Menara Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Mei, 2014: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan peningkatan tahunan kepada RM10 juta nilai eksport buah mangga tempatan daripada RM3.52 juta yang dicatatkan pada tahun lepas.

Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, pihaknya menerima permintaan yang tinggi terhadap buah mangga tempatan setiap tahun serta keuntungan yang cukup memberangsangkan.

Daripada segi permintaan kata beliau, kita tidak mempunyai masalah kerana potensi untuk pengeksportan buah mangga adalah tinggi.

“Namun yang menjadi masalah adalah jumlah pengeluaran buah mangga yang kadang-kala tidak menentu mengikut musim.

“Saya menyarankan golongan peladang terutama generasi muda kembali ke sektor pertanian secara komersial bagi memastikan negara mampu mengeluarkan sebanyak mungkin buah mangga," katanya selepas merasmikan kempen Jom Makan Buah Mangga 2014 di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zuraidah Mohd. Saad serta Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Sharifah Hashim.

Badruddin berkata, FAMA akan mengadakan kempen di luar negara pada Jun bagi mempromosikan buah-buah tempatan, masakan serta produk-produk berasaskan bahan keluaran tempatan.

Kempen anjuran Menara Kuala Lumpur dengan kerjasama FAMA untuk meningkatkan permintaan mangga dan memperluaskan pasaran ketika musim mangga pada Mei dan Jun, khususnya di Lembah Klang.

Selain daripada itu, kempen ini bertujuan mempromosikan keunikan, kebaikan dan kepelbagaian buah mangga Malaysia kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa disamping menggalakkan rakyat Malaysia agar menghargai buah-buah tempatan. Pesta Jom Makan Buah Mangga 2014 yang bermula hari ini akan berakhir pada 4 Mei ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment