MexComm didenda RM15,000 kerana iklan SMS
CYBERJAYA, SABTU, 03 Mei, 2014: Syarikat MexComm Sdn. Bhd. (MexComm) dijatuhi hukuman denda sebanyak RM15,000 kerana kesalahan menghantar iklan khidmat pesanan ringkas (SMS)yang menyalahi Standard Mandatori untuk Perkhidmatan Kandungan Mudah Alih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Hasil siasatan SKMM mendapati MexComm telah menyalahi perenggan 69 dan 71 Standard Mandatori kerana menghantar iklan SMS dengan menggunakan kod ringkas 62228 kepada seorang pelanggan Maxis.
SMS berikut: "RM0.00 Perhatian !! Sms ON SITI ke 32339 skrg dan dpt gambar yg menarik !! Vid mp3.pdft PERCUMA jgn tunggu lagi! Type out to opt out. Mx1300223228" terbukti mengelirukan dan tidak mengandungi maklumat lengkap mengenai harga perkhidmatan langganan serta penyelia kandungan.
Menurut kenyataan akhbar SKMM, siasatan lanjut turut mendapati, syarikat MexComm Sdn Bhd telah melanggar Syarat 2.2 Lesen Kelas ASP No: ASP/C/2005/3 yang mengkehendaki syarikat tersebut untuk mematuhi segala peruntukan yang dikeluarkan oleh suruhanjaya itu.
Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman denda itu kepada MexComm yang diwakili oleh Pengawal Kewangan Kumpulannya, Encik Lim Siow Fai di Mahkamah Sesyen Jenayah 7 Kuala Lumpur.
MexComm didakwa di bawah Seksyen 127 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 242 akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment