My Add

Monday 26 May 2014

PDRM bongkar makmal proses ketamin di Sri Hartamas

KUALA LUMPUR, ISNIN 26 Mei, 2014: Polis Diraja Malaysia buat pertama kalinya membongkar kegiatan memproses dadah jenis ketamin yang didalangi dua lelaki tempatan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Taman Sri Hartamas, di sini Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, selain penahanan dua lelaki berumur 44 dan 51 tahun itu, polis turut merampas ketamin bernilai RM720,000 dan 200 biji pil ecstasy.

"Pada Jumaat lepas, pukul 7.30 malam, kita (polis) menahan dua lelaki itu di dalam sebuah kereta jenis Myvi di Taman Mutiara, Cheras bersama tiga bungkusan plastik berisi dadah ketamin seberat 2,495 gram di bahagian but kereta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Noor Rashid berkata, tangkapan itu membawa polis ke sebuah kondominium di Taman Sri Hartamas, sebelum sembilan bungkusan plastik berisi ketamin seberat 9.05 kg, dua bekas plastik lutsinar berisi ketamin seberat 2.77 kg dan empat bungkusan besar plastik berisi serbuk putih disyaki ketamin seberat 3.26 kg, ditemui.

Beliau berkata turut ditemui di dalam rumah itu, bahan-bahan kimia dan peralatan memproses dadah. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment