My Add

Thursday 1 May 2014

Red Bean Army tiada beza dengan kumpulan militan?

KUALA LUMPUR, RABU, 30 April, 2014: Tentera siber propembangkang, Red Bean Army (RBA) yang menyebarkan fitnah, hasutan dan provokasi melalui laman media sosial perlu dikenakan tindakan tegas seperti yang diambil terhadap sebuah kumpulan militan yang mirip dengan pengganas al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI) di Selangor dan Kedah Ahad lalu.

Pengerusi Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, kedua-dua kumpulan tersebut tidak banyak bezanya kerana kesan daripada perbuatan mereka boleh mengancam keselamatan Malaysia dan perpaduan kaum sehingga boleh menjerumuskan negara ini ke dalam suasana kacau-bilau.

Menurutnya, tentera kacang merah yang didakwa peliharaan sebuah parti politik itu banyak menyebarkan maklumat salah termasuk dalam isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 apabila cuba mengelirukan keluarga penumpang supaya menyalahkan kerajaan.

“Polis perlu melihat ancaman RBA ini secara serius. Sepatutnya RBA ini dikenakan tindakan tegas seperti mana diambil terhadap 10 orang disyaki militan kerana matlamatnya adalah ke arah mewujudkan suasana tidak menentu di negara ini.

“Kepada siapa lagi rakyat hendak berharap untuk kuatkuasakan undang-undang kalau polis sendiri tidak boleh bertindak ke atas RBA," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Biro Antarabangsa Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Fakhrul Azman Abu Bakar mendedahkan RBA yang bertindak sebagai pengatur cara merosakkan keamanan negara itu terdiri daripada pegawai bank, pemandu teksi, peniaga kedai runcit/makanan, doktor perubatan, pensyarah kolej swasta dan mekanik.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diperoleh, modus operandi yang digunakan RBA cukup terancang iaitu untuk mencetuskan pelbagai isu semasa serta perkauman, sekali gus membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

Mengulas lanjut, Khairul Anuar menegaskan, kerajaan perlu meminda atau menggubal akta baharu sekiranya peruntukan undang-undang sedia ada tidak cukup mantap bagi mensabitkan ahli RBA dengan kesalahan di mahkamah.

Katanya, langkah itu perlu agar ahli RBA tidak boleh memberikan pelbagai alasan seperti akaun palsu atau diceroboh untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang.

“Kita tidak mahu sekiranya tindakan diambil terhadap mereka ini hanya sekadar tangkapan tetapi tidak ada pendakwaan atau didakwa tetapi kes dibuang begitu sahaja.

“Kerajaan perlu meminda atau membuat akta baharu yang lebih ketat supaya RBA atau mana-mana pihak menggunakan ruang media sosial secara lebih bertanggungjawab," tegasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment