My Add

Thursday 1 May 2014

UUM perkenal program Asasi Pengurusan buat lepasan SPM

 *TIMBALAN Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad (dua dari kanan) bersalaman bersama Mohamed Mustafa Ishak selepas memeterai dokumen kerjasama di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur semalam. Turut kelihatan, Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Hassan Mohd. Noor (kiri).
KUALA LUMPUR, RABU, 30 April, 2014: Buat pertama kalinya, Universiti Utara Malaysia (UUM) menawarkan Program Asasi Pengurusan bagi semester pertama 2014/2015 bermula Jun ini yang dirangka khas buat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, objektif UUM menawarkan program itu ialah menyediakan bakal pelajar ke program-program kritikal di universiti berkenaan.

Katanya, menerusi program itu, pelajar-pelajar cemerlang dalam SPM berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah tanpa melalui peringkat diploma, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau matrikulasi.

“Program Asasi Pengurusan ini berfungsi sebagai ‘pembekal’ kepada beberapa program ijazah sarjana muda yang ditawarkan oleh UUM atau Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lain.

“Antara kaedah pengajaran program ini ialah melalui kuliah, perbincangan, tutorial, makmal, seminar projek dan pembentangan," katanya yang ditemui sewaktu membuat kunjungan hormat ke Jabatan Pengarang Utusan Malaysia di Jalan Chan Sow Lin di sini hari ini.

Sebanyak 39 program peringkat sarjana muda akan ditawarkan kepada pelajar program asasi pengurusan itu termasuk Perakaunan, Undang-Undang, Perniagaan Antarabangsa, Multimedia, Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Antarabangsa yang mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan baru-baru ini.

Tambah Mohamed Mustafa, tempoh pengajian program itu adalah tiga semester dengan tempoh keseluruhan pengajian selama setahun.

“Semua kursus ini akan dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris dan para pelajar wajib mengambil 17 kursus yang bersamaan dengan 50 jam kredit bagi menamatkan program tersebut," ujarnya.

Bagi kemasukan pertama program itu, seramai 100 pelajar akan dipilih berdasarkan kelayakan masing-masing.

Permohonan akan dibuka secara dalam talian melalui hea.uum.edu.my atau hubungi Pengarah Jabatan Hal Ehwal Akademik UUM, Ahmad Rasidi di nombor 04-9283302/303 untuk maklumat lanjut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment