My Add

Wednesday 21 December 2011

Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa 2011

SEBAHAGIAN daripada 55 peserta Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa 2011 membuat rakaman di Angkasapuri, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 21 Disember, 2011: Penganjuran Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa 2011 di negara ini boleh dijadikan platform antarabangsa untuk mempromosikan kebudayaan dan keunikan masyarakat pelbagai bangsa di negara ini.

Pengerusi Antarabangsa pertandingan itu, Datuk Danny Ooi berkata, penganjuran program berkenaan sebenarnya adalah untuk membantu industri pelancongan negara dan sebagai usaha mempromosikan rekaan fabrik berasaskan batik ke peringkat dunia.

"Kita akan mengadakan pertandingan batik di dalam pertandingan ini dengan sebanyak 20 pereka fesyen akan bertanding dalam membuat rekaan fesyen bercorak batik untuk diperagakan oleh ratu cantik yang terlibat.

"Kita turut membawa para peserta untuk melawat dua buah negeri iaitu Pulau Pinang dan Johor yang secara tidak langsung mempromosikan keunikan kedua-dua tempat berkenaan bukan sahaja kepada para peserta, malah juga kepada dunia," katanya ketika ditemui di Angkasapuri di sini semalam.

Seramai 55 peserta yang mewakili negara masing-masing mengunjungi Angkasapuri serta studio-studio Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk melihat secara lebih dekat bagaimana RTM sebagai badan kerajaan berfungsi dalam menyebarkan maklumat kepada orang ramai.

Dalam pada itu, wakil ratu cantik negara, Aileen Gabriella Robinson, 22, berkata, dia banyak memberitahu kepada peserta lain mengenai keunikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum.

"Saya menjelaskan kepada mereka bagaimana negara kita yang berbilang kaum mampu hidup dengan aman serta toleransi antara kaum yang sangat baik dan ternyata mereka kagum melihat perkara itu," ujarnya.

Peserta ratu cantik dari Filipina, Diana Sunshine Rademann, 20, berkata, kemesraan dan keramahan rakyat negara ini membuatkannya tidak berasa kekok sepanjang berada di negara ini.

"Saya sangat menyukai fabrik bercorak batik yang terdapat di Malaysia dan saya juga tidak sabar untuk memperagakan hasil rekaan fesyen batik yang pastinya menarik," jelasnya.

Pada sesi kunjungan tersebut, RTM turut mempelawa seramai 20 anak yatim dari Rumah Keluarga Kami, Kajang untuk bersama-sama menikmati makanan tengah hari dengan kesemua peserta ratu cantik. - UM

No comments:

Post a Comment