My Add

Saturday 10 December 2011

5.2 juta rakyat dijangka mohon BR1M

KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Disember, 2011:
KEMENTERIAN Kewangan menyasarkan 5.2 juta rakyat Malaysia akan mendaftar untuk mendapatkan bantuan kewangan RM500 dari program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). 

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Sri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata kumpulan sasaran itu terdiri daripada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 bagi satu isi rumah serta ramai tangunggan, warga emas berumur 60 tahun ke atas dan ahli keluarga berdaftar di bawah program eKasih.

"Atas tujuan untuk menilai pendapatan sebenar keluarga, hanya ahli keluarga yang bekerja saja layak untuk mengisi borang permohonan, bukan seluruh anggota keluarga," katanya selepas menyerahkan borang BR1M hari ini.

Ahmad Husni berkata, pemprosesan pemohon akan dilakukan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan permohonan yang tidak layak boleh dikenal pasti melalui rekod. 

"LHDNM mempunyai rekod pendapatan individu yang mengisytiharkan jumlah pendapatan mereka dan sebarang permohonan tidak layak boleh dikenal pasti dengan serta merta," katanya. 

Berdasarkan sasaran yang ditetapkan, beliau berkata, kerajaan menyediakan borang pendaftaran lebih daripada diperlukan dan juga tidak mengenakan sebarang kos untuk mendapatkan borang permohonan bantuan kewangan berkenaan. 

"Setakat hari ini, selain memuat turun dari laman web Kementerian Kewangan, sebanyak 862 kaunter dibuka di seluruh negara untuk mendapatkan borang permohonan dan 415 daripadanya adalah di sekolah yang terpilih," katanya.

Selain itu, Ahmad Husni juga berkata, pembayaran akan dibuat pada pertengahan Januari 2012, tetapi, format pembayaran bantuan kewangan belum diumumkan lagi kerana fokus yang ingin diberikan kepada proses pendaftaran. 

Pendaftaran permohonan BR1M akan bermula pada hari ini sehingga 10 Januari 2012 dan sebarang pertanyaan boleh merujuk kepada Talian Hotline BR1M, 1-800-222-500. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment