My Add

Saturday 10 December 2011

LIMA 2013 diadakan pada Mac, bukan lagi Disember: Zahid

LANGKAWI, SABTU, 10 Disember, 2011:
PAMERAN Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) edisi ke-12 pada 2013 akan diadakan pada Mac berbanding Disember pada 11 edisi LIMA yang diadakan sejak 1991 hingga tahun ini. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata LIMA 2013
dijangka diadakan pada 26 hingga 30 Mac setelah mengambil kira permintaan pempamer.

"Ada empat faktor kerana kita ubah tarikh LIMA. Yang pertama Disember terlalu rapat dengan perayaan Krismas...jadi mereka (kebanyakan pempamer) minta mereka dapat peluang untuk bercuti," katanya kepada pemberita di hari terakhir LIMA '11 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, sebentar tadi. 

Beliau berkata, selain itu, pada April diadakan pameran 'Defence Services 
Asia' (DSA) di Kuala Lumpur dan pempamer merasakan tempoh masa antara April dan Disember terlalu lama. 

"Pada Disember juga, musim tengkujuh di kawasan kita. Bagaimanapun, pada LIMA kali ini juruperunding cuaca kita melakukan tugas dengan baik. Selain itu, 
bagi syarikat-syarikat pada akhir tahun bajet mereka telah dibelanjakan. Jika 
diadakan awal tahun bajet masih banyak," katanya. 

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pasukan profesional aerobatik kebangsaan, Krisakti yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Selasa lalu sudah mula menerima permintaan untuk mengadakan persembahan. 

Katanya, pada Mac nanti, pasukan itu akan ada enam pesawat dan sehingga kini 
mereka mendapat lapan permintaan untuk membuat persembahan. 

"Permintaan itu adalah dari Brunei, untuk Hari Angkatan Tentera, Hari Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara, selain sewaktu perlumbaan Grand Prix Formula Satu Malaysia, MotoGP dan Hari Kebangsaan," katanya. 

Katanya, LIMA '11 mendapat kerjasama yang baik daripada hotel-hotel yang 
tidak lagi mengenakan pakej yang terlalu tinggi harganya berbanding LIMA sebelum ini selain sambutan baik daripada penduduk tempatan. 

LIMA '11 selama lima hari bermula Selasa lalu. Ia membabitkan dua seksyen 
iaitu segmen udara yang diadakan di MIEC dan segmen maritim di Awana Porto 
Malai. - BERNAMA

1 comment:

  1. Saya ingin mencadangkan, pada LIMA 2013 harap pihak penganjur dapat menjemput pasukan aerobatik dr Rusia iaitu "Russian Knights" dimana ianya terdiri drp pesawat2 Sukhoi..sy percaya pasti orang ramai ternanti-nanti akan kehadiran mereka.

    ReplyDelete