My Add

Saturday 10 December 2011

ASEAN perlu tangani jurang digital - Rais Yatim

NAY PYI TAW 9 Disember, 2011:
PENGGIAT telekomunikasi ASEAN digesa memberi perhatian terhadap akses teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) di kawasan luar bandar di negara anggota masing-masing.

Pada Mesyuarat Menteri-Menteri Teknologi Maklumat (Telmin) di sini semalam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, usaha menangani jurang digital adalah isu yang sangat penting dan merupakan cabaran besar untuk ASEAN.

"Banyak yang perlu dilakukan untuk penduduk di kawasan luar bandar jika rantau ini mahu meraih manfaat sosial dan ekonomi yang dibawa oleh ICT," kata Rais yang bakal melepaskan jawatan Pengerusi Telmin, semasa berucap pada majlis pembukaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar.

Sepuluh Menteri Telekomunikasi ASEAN dari Brunei, Kemboja, Laos, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam hadir pada acara itu. Mesyuarat itu dirasmikan oleh Presiden Myanmar, Thein Sein.

Rais berkata, kerajaan Malaysia memperakui masalah itu dan mengambil langkah bagi memastikan perkhidmatan telekomunikasi dan ICT tersedia di setiap pelosok negara.

Antara langkah yang diambil ialah pengedaran satu juta netbook 1Malaysia kepada pelajar miskin dan isi rumah berpendapatan kecil, penubuhan Daerah Digital, Pusat Jalur Lebar Komuniti dan pusat sumber di seluruh negara.

"Selari dengan Pelan Induk ICT Asean 2015 (AIM2015), objektif program yang dijayakan di Malaysia ialah menghubungkan masyarakat di kawasan yang tidak mendapat perkhidmatan dengan kemajuan ICT perdana, yang memperkasakan mereka untuk menjayakan pembangunan sosioekonomi," katanya.

Dalam ucapannya, Rais juga mengetengahkan enam kejayaan utama sepanjang 11 bulan Telmin dipengerusikan Malaysia.

Ia termasuk menjajarkan semula struktur institusi bagi menampung pelaksanaan pelan induk, memulakan projek koridor jalur lebar ASEAN, memberi tumpuan terhadap pemangkin ICT oleh industri kecil dan sederhana, semakan menyeluruh kerangka kerja perkhidmatan sejagat di ASEAN, langkah ketara dalam mengurangkan caj perayauan mudah alih dan penubuhan Majlis Tindakan Keselamatan Rangkaian ASEAN.

Bercakap kepada wartawan Malaysia kemudiannya, Rais berkata, kejayaan itu sebahagian besarnya dipacu oleh idea dari Malaysia serta sumbangan kontektual dari pelbagai negara anggota ASEAN.

"Semua ini menjadi program kolektif dengan ASEAN dan kami yakin bahawa berdasarkan pelan induk yang tersedia ini, anggota ASEAN akan membuat tindakan susulan," katanya.

Rais memperakui bahawa isu pembiayaan mungkin timbul dalam melaksanakan projek di rantau ini, namun beliau berharap negara anggota dapat mengatasinya bagi menjayakan projek terbabit.

Bagi menangani jurang digital di kawasan luar bandar, beliau berkata pendekatan terbaik ialah setiap negara menggunakan modus operandi yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

"Yang penting kita perlu menghubungkan kawasan luar bandar dan kawasan bandar. Jika modus operandi Malaysia berguna untuk mereka, mereka boleh mengkajinya.

"Namun setakat ini dengan hampir 63 peratus penembusan dalam negara, kita sudah mencapai tahap keyakinan bahawa ia boleh menjadi contoh kejayaan di negara anggota yang lain," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment