My Add

Sunday 25 December 2011

Aspirasi serah memorandum

MOHD. Shahar Abdullah bersalaman dengan Najib Tun Razak ketika menyerahkan memorandum membantah tindakan SMM dan Bebas menurunkan bendera wajah Perdana Menteri baru-baru ini, di KLIA, kelmarin.

Oleh AZHARI ZAINOODDIN
KUALA LUMPUR, AHAD, 25 Disember, 2011: Bagi menunjukkan kesungguhan dan ketegasan dalam tindakan yang dilakukan, Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) menghantar dua memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, malam kelmarin.

Penyerahan itu dilakukan kira-kira 40 ahli Aspirasi bersama ahli Alumni Universiti dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Presiden Aspirasi, Mohd. Shahar Abdullah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum Perdana Menteri berlepas ke Australia.

Menurut Mohd. Shahar, memorandum berkenaan sama dengan dua memorandum yang dihantar kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Noordin dan Timbalannya, Datuk Saifuddin Abdullah.

"Alhamdulillah, Perdana Menteri menerima dan berjanji untuk membaca serta meneliti isi kandungan memorandum berkenaan.

"Biarpun tidak memberitahu akan kehadiran kami tetapi Perdana Menteri tetap sudi menerima kunjungan kami dan pertemuan itu berlangsung dalam suasana harmoni tanpa dicemari dengan insiden yang tidak sepatutnya," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Rabu lalu, kira-kira 1,000 ahli gerakan mahasiswa, Aspirasi dan beberapa NGO mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan bangunan Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya bagi menyerahkan dua memorandum kepada menteri dan timbalan menteri kementerian berkenaan.

Aspirasi kelmarin, melahirkan kekecewaan dan mempersoalkan tindakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang dilihat sengaja mengelak pertemuan bersama dan seolah-olah mengamalkan sikap berat sebelah.

Mohd Shahar berkata, pada pertemuan itu mereka telah menerangkan dengan terperinci kepada Perdana Menteri berhubung perhimpunan aman yang dilakukan tempoh hari.

Beliau memberitahu, mereka turut menyatakan pendirian mengutuk tindakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) yang menurunkan bendera mempunyai wajah Perdana Menteri minggu lalu.

"Kami sedar wujudnya beberapa percanggahan terhadap perhimpunan tersebut dan kami telah menerangkan kepada Perdana Menteri sambil menunjukkan gambar-gambar yang dirakam ketika perhimpunan itu berlangsung," ujarnya. - MM

No comments:

Post a Comment