My Add

Sunday 25 December 2011

JPJ sedia kaji bas dua tingkat

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI 

DUNGUN, AHAD. 25 Disember, 2011: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedia mengkaji semula penggunaan bas dua tingkat yang didakwa tidak selamat dan sesuai bagi perjalanan jarak jauh.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad berkata, kajian itu terhad kepada pemeriksaan keselamatan bahagian kenderaan seperti tayar, brek kecemasan serta jarak perjalanan yang bersesuaian dengan penggunaan bas itu.

"Kita akur jika kementerian mahu kajian teliti dilakukan ke atas penggunaan bas ini dan sebelum ini kita sudah menjalankan pemeriksaan ke atas setiap bas yang membawa penumpang terutamanya melibatkan destinasi jauh.

"Saya yakin Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah menjalankan kajian ke atas perkara yang sama dan kita akan bincangkan perkara itu dengan lebih teliti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup program Satu Komuniti Satu JPJ di Kampung Baru, Kuala Abang dekat sini, semalam.

Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri semalam yang memaklumkan bahawa bas dua tingkat tidak sesuai digunakan bagi perjalanan jarak jauh terutama di laluan yang berselekoh serta sempit kerana ia mempengaruhi kestabilan bas.

Ismail memberitahu, kajian itu perlu dilakukan agar kemalangan melibatkan bas dua tingkat dapat dielakkan pada masa depan.

"Kita memang ada rekod sebelum ini melibatkan kemalangan beberapa buah bas dua tingkat dan kita harap melalui kajian yang akan dijalankan nanti memberi gambaran yang lebih jelas tentang risiko penggunaan bas dua tingkat ini," jelasnya.

Pada Disember tahun lalu, seramai 28 pelancong Thailand terkorban dalam tragedi membabitkan bas dua tingkat di Kilometer 15, Jalan Cameron Highland-Simpang Pulai, Perak.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah JPJ Terengganu, Datuk Ismail Ahmad memberitahu, golongan remaja bakal berhadapan masalah ketika memohon lesen sekiranya mereka pernah melakukan kesalahan jalan raya sebelum ini.

Berkata, kesemua kesalahan yang dilakukan oleh pesalah sama ada di bawah umur atau sebaliknya akan direkod melalui sistem komputer jabatan itu bagi memudahkan pihaknya mengenal pasti penunggang bermasalah.

Katanya, beliau sedia maklum kebanyakan pengguna bawah umur yang melakukan kesalahan jalan raya sering memandang ringan terhadap kesalahan yang dilakukan. - MM

No comments:

Post a Comment