My Add

Wednesday 14 December 2011

Bapa hairan anak di Dublin, tanpa dokumen sah

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Disember, 2011:
SEORANG bapa yang tampil meminta bantuan pihak berkuasa mencari anaknya di Dublin, Republik Ireland, semalam, hairan bagaimana pemuda itu boleh tinggal di negara berkenaan sejak tiga tahun lalu tanpa dokumen sah.

Menurut Rosli Haron, ini kerana sejak 2008, anaknya, Ariff Alfian, 28, tidak lagi memiliki visa pelajar disebabkan pengajiannya di University College Dublin (UCD) dalam bidang doktor perubatan digantung.

Tambahnya, penggantungan itu disebabkan Ariff gagal menjelaskan yuran akademik untuk semester tambahan bagi menamatkan pengajiannya di universiti itu.

"UCD telah menggantung pengajian Ariff. Dia kini tidak lagi menjadi pelajar di negara itu serta bukan pemegang visa pelajar. Saya hairan bagaimana anak saya boleh tinggal di sana tanpa sebarang dokumen sejak tiga tahun lalu.

"Saya dan keluarga pernah ke Dublin lapan kali dalam tempoh itu (kali terakhir Ogos lalu), tahu undang-undang di situ ketat dan pelancong hanya dibenarkan berada di negara itu seminggu atau paling lama sebulan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan berita kehilangan Ariff Alfian yang gagal dihubungi keluarganya sejak tiga tahun lalu.

Menurut Rosli, 56, dia telah ke Ibu Pejabat Imigresen Republik Ireland untuk penjelasan tetapi tidak mendapat kerjasama sewajarnya atas alasan Ariff telah melebihi usia 20 tahun dan undang-undang di negara itu tidak membenarkan maklumat individu didedahkan, hatta kepada ahli keluarganya.

Katanya, pasport Ariff Alfian pula telah tamat Oktober lalu dan dia yang berusaha menulis surat dan memohon Imigresen di sini tidak melanjutkannya sekali lagi hampa apabila dimaklumkan tidak boleh berbuat demikian tanpa arahan pihak atasan.

"Saya yakin berdasarkan maklumat daripada Imigresen di Republik Ireland, Ariff masih hidup, tidak hilang, malah mereka mempunyai alamatnya dan dia masih di negara itu, tetapi tidak dapat didedahkan.

"Saya merasa lebih bimbang apabila mendapat maklumat bahawa Ariff mempunyai hubungan dengan rakyat tempatan sehingga membolehkan dia tinggal di negara itu," ujarnya.

Rosli berkata, matlamatnya kini hanya untuk dapat berjumpa Ariff dan bercakap secara berdepan sebagai bapa dan anak, namun tanpa sokongan dan bantuan pihak kerajaan, usaha itu sukar dilakukannya.

"Saya dan isteri, hanya ingin bercakap dengannya dan itulah yang dilakukan kami sekeluarga sejak tiga tahun lalu sendirian tetapi menemui jalan buntu.

"Sebagai seorang bapa, saya bimbang sekiranya Ariff terjebak dengan perkara negatif sehingga terkeluar daripada Islam. Apa yang saya mahu adalah untuk selamatkan akidah anak saya.

"Malah kini kami tidak fikirkan lagi tentang pengajiannya. Saya juga berharap ada pihak sudi membantu anak saya," katanya.

Muhd. Khairun ke UK, bantu jejak pelajar

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh akan ke United Kingdom (UK) 23 Disember ini bagi bertemu dengan Kelab UMNO Luar Negara UK dan Ireland dalam usaha mengesan Ariff Alfian Rosli, 28, yang didakwa keluarganya gagal dihubungi sejak tiga tahun lalu.

Muhd. Khairun berkata, buat masa ini, pihaknya masih mengumpul beberapa maklumat mengenai Ariff Alfian supaya usaha menjejaki pelajar terbabit dapat dilakukan.

Beliau menambah, pihaknya juga berusaha membuat temu janji dengan keluarga mangsa bagi memperolehi maklumat-maklumat tambahan dan berbincang mengenai beberapa perkara.

“Dari segi gerak kerja, kita akan ke UK pada 23 Disember ini bagi berbincang dengan Kelab UMNO Luar Negara. Berdasarkan maklumat dan pengalaman sebelum ini, saya percaya pelajar itu boleh dikesan.

“Sekiranya, berjaya dikesan perjumpaan itu perlu diadakan secara tertutup agar konflik yang dialami boleh diketahui,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

No comments:

Post a Comment