My Add

Wednesday 14 December 2011

Saran wujud dana perkasa penerbitan, terjemahan

KUALA LUMPUR, RABU, 14 DisEMBER, 2011:
KERAJAAN disaran mewujudkan satu dana khas bagi memartabat dan memperkasakan penerbitan serta penterjemahan buku di negara ini.

Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Mohd. Khair Ngadiron berkata, dana tersebut penting dalam usaha membantu penulis tanah air untuk terus menghasilkan karya bermutu masing-masing.

"Malaysia perlu menerbitkan sebanyak 27,000 naskhah buku setahun untuk kita mencapai status negara maju menjelang 2020. Sehingga kini, kita hanya mampu menerbitkan sekitar 18,000 hingga 20,000 setahun sahaja.

"Sekiranya kerajaan dapat membantu penulis dalam bentuk dana, maka saya yakin ia akan mempercepatkan proses penambahan judul buku di negara ini," katanya pada majlis penyampaian hadiah dan pelancaran buku Hadiah Sako 3 bagi Novel Nasional Kumpulan Utusan-ITNM 2011 di sini, semalam.

Penyampaian hadiah dan pelancaran buku Hadiah Sako 3 disempurnakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Mohd. Khair berkata, menerusi dana tersebut, penulis juga dapat dihantar ke luar negara bagi menimba ilmu dan memperkayakan pengalaman.

Dengan cara itu, kata beliau, ia akan meningkatkan keupayaan minda mereka untuk menghasilkan karya bermutu.

"Di Korea misalnya, penulis mereka dibiayai keluar negara untuk memperkaya pengalaman dan seterusnya mampu menghasilkan karya bermutu," katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya akan menyediakan kertas cadangan penubuhan dana tersebut dalam tempoh terdekat bagi tindakan kerajaan.

Dalam pada itu, Ahmad Hairi berkata, kerjasama antara Kumpulan Utusan dan ITNM sangat signifikan dalam usaha membawa khazanah kesusasteraan Melayu ke persada antarabangsa.

Sebagai sebuah organisasi dan wadah perjuangan bangsa, katanya, Kumpulan Utusan juga akan terus berjuang memartabatkan sastera tanah air. - UM

No comments:

Post a Comment