My Add

Monday 19 December 2011

Barisan Nasional utamakan kebajikan rakyat

NOR Mohamed Yakcop (dua dari kanan) melihat kerja-kerja membaik pulih bumbung rumah milik seorang penduduk di Bagan Lebai Tahir, Butterworth, Pulau Pinang, semalam.


BUTTERWORTH, ISNIN, 19 Disember, 2011: Malaysia boleh dianggap sebagai negara yang paling menitikberatkan kepentingan rakyat walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah tidak mengisytiharkan konsep negara berkebajikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kerajaan Persekutuan selama ini telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti pendidikan percuma, perubatan percuma dan subsidi petrol bagi membantu meringankan beban rakyat.

Menurutnya, semua usaha itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan keluar daripada kelompok kemiskinan sekali gus menaik taraf kehidupan mereka.

"Pelbagai program transformasi yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terutama Program Transformasi Ekonomi (ETP) bertujuan menaiktaraf kehidupan rakyat Malaysia, khususnya golongan terbawah di negara ini yang meliputi 40 peratus daripada jumlah penduduk.

"Kita kini memberi perhatian untuk membantu menaiktaraf golongan terbawah di mana mereka hanya berpendapatan antara RM1,400 hingga RM2,300 sebulan bagi membolehkan mereka dapat mempunyai kehidupan lebih selesa," katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan peruntukan untuk projek-projek bantuan rumah di sini semalam.

Pada majlis tersebut, Nor Mohamed menyampaikan peruntukan berjumlah RM260,000 kepada pihak berkuasa untuk membaiki 120 rumah. Projek tersebut dijangka siap akhir Januari ini.

Dalam pada itu, Nor Mohamed berkata, beliau percaya tiada negara lain di dunia ini yang lebih berjaya dalam sosial mobiliti seperti Malaysia.

"Tiada negara di dunia ini dapat dibangunkan dalam masa begitu singkat seperti Malaysia di mana kita berjaya menjadikan anak-anak miskin sebagai profesional dan lebih kaya,'' katanya. - UM

No comments:

Post a Comment