My Add

Sunday 18 December 2011

Tiong Lai nafi kurang peruntukan bagi Hospital Melaka

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini menafikan dakwaan kononnya Hospital Melaka kekurangan bekalan ubat berikutan kekurangan peruntukan sebanyak RM3.5 juta daripada kementerian berkenaan. 

Katanya, kesemua jumlah peruntukan itu sudah dibayar kepada hospital tersebut di mana isu kekurangan bekalan ubat tidak sepatutnya timbul sama sekali.

"Oleh itu sekiranya ada kekurangan ini, pihak pengarah hospital perlu bertanggungjawab terhadap penempahan bekalan ubat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Ampang Sihat di Klinik Kesihatan Ampang, dekat sini, hari ini.

Katanya, tindakan sudah diambil dan arahan untuk mengambil tindakan yang serius juga sudah diberikan terhadap mana-mana pihak yang leka untuk membuat tempahan ubat bagi sesebuah hospital. 

"Ini adalah satu isu yang serius...pesakit tidak boleh tunggu untuk dapat ubat, pesakit perlu diberi ubat segera. 

"Malah, ini sepatutnya tidak berlaku lagi kerana peruntukan memang cukup untuk kita agih-agihkan ke semua negeri dan masalahnya apabila peruntukan sampai dan pihak hospital tidak mengambil tindakan cepat, maka ada masalah sebegitu berlaku," katanya. 

Liow juga menegaskan bahawa isu seperti ini tidak akan berulang dan pihak hospital perlu menyelesaikan masalah ini dalam masa yang singkat sekiranya ia berlaku. 

Pada 8 Disember, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mendakwa bahawa Kementerian Kesihatan masih belum menyalurkan baki peruntukan untuk bekalan ubat kepada hospital tersebut dan menggesa kementerian untuk mempercepatkan proses itu. 

Manakala mengenai perkhidmatan klinik kesihatan, Liow berkata sejumlah 60 daripada 800 buah klinik sudah mula menjalankan perkhidmatan di luar waktu pejabat di seluruh negara sepanjang tahun ini. 

"Perkhidmatan 'extended hours' ini ialah dari jam 5 petang hingga 9.30 malam setiap hari bekerja dan dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari pada hari Sabtu," katanya. 

Tambahnya, rakyat juga dapat membuat permohonan atau permintaan dari kementerian sekiranya mereka mendapati kawasan perumahan mereka memerlukan perkhidmatan tersebut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment