My Add

Wednesday 14 December 2011

Usaha turunkan kos kendali perniagaan

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Disember, 2011:
MALAYSIA akan meneruskan usaha mengurangkan kos pengendalian perniagaan bagi menjadikan negara ini sebagai lokasi terbaik untuk mengembangkan perniagaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah pengurangan kos itu dilihat dapat memberi banyak impak positif kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Menurutnya, kerajaan mahu mewujudkan suasana di mana PKS bukan sahaja mampu bertahan dalam persaingan sengit tetapi terus berkembang pada masa depan.

"Dalam aspek modal insan, kerajaan akan merangka langkah-langkah yang betul bagi memastikan industri bersedia sepenuhnya sebelum mengambil peluang bersaing di pasaran.

"Selain ini kami juga akan menjalinkan hubungan perniagaan yang lebih erat antara agensi kerajaan dengan PKS,'' katanya pada majlis anugerah Usahawan Ernst & Young Terbaik 2011, di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Selain itu katanya, kerajaan juga sedang berusaha menggalakkan penglibatan usahawan dalam pasaran modal tempatan terutamanya dalam sektor perkhidmatan seperti perbankan Islam dan industri kewangan.

Katanya, segala inisiatif yang diambil ini adalah bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang sihat dan kukuh di Malaysia, sekali gus mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Pada tahun ini Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) telah meletakkan Malaysia di kedudukan ke tujuh di dunia dalam kategori negara paling kompetitif berbanding tempat ke-10 tahun lalu,

"Manakala Bank Dunia telah meletakkan Malaysia di kedudukan ke-18 dunia bagi kategori paling mudah memulakan perniagaan antara tahun 2010 hingga 2011,'' jelasnya.

Tambahnya, Malaysia juga ketika ini sedang mengintai peluang untuk membangunkan lebih banyak industri baharu terutamanya yang mempunyai nilai tambah yang tinggi serta potensi ekonomi yang besar.

"Antara sektor yang dikenalpasti adalah bioteknologi, teknologi hijau dan angkasa lepas. Oleh itu bagi mencapainya, kerajaan sedang mencari rakan kongsi asing untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor berkenaan," ujarnya. - UM

No comments:

Post a Comment