My Add

Thursday 15 December 2011

EPF catat pendapatan pelaburan 18.32% suku ke-3 2011

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 Disember, 2011:
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan pulangan pelaburan ekuiti yang memberangsangkan, membolehkan ia mencatatkan pendapatan pelaburan yang baik sebanyak RM6.80 bilion pada suku tahun ketiga (S3) 2011, iaitu meningkat 18.32 peratus berbanding RM5.75 bilion pada suku ketiga 2010. 

Diperkukuhkan dengan aliran caruman bersih ahli, aset pelaburan KWSP terus meningkat kepada RM452.05 bilion berbanding RM440.52 bilion pada akhir tahun 2010.

"Pencapaian prestasi suku tahun ketiga melebihi sedikit jangkaan kita," kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol, semasa mengumumkan prestasi belum diaudit KWSP bagi suku ketiga 2011.

Kata Azlan, suku ketiga menyaksikan pasaran domestik dan juga global mengalami tekanan jualan, berikutan penurunan penarafan kredit Amerika Syarikat daripada AAA kepada AA+ oleh Standard & Poor’s dan kesan menular krisis hutang zon Eropah. 

"Bagaimanapun, portfolio KWSP kekal teguh dan kualiti aset KWSP yang berdaya tahan membantu mengurangkan kesan daripada ketidaktentuan jangka pendek," katanya. 

Azlan menegaskan bahawa prestasi pelaburan KWSP yang membanggakan ini khususnya adalah hasil usaha pengurus dana ekuiti KWSP yang melaksanakan strategi pengambilan untung dengan menyimpan keuntungan terutamanya sebelum berlaku kelembapan pasaran serta dividen baik yang diterima daripada syarikat tersenarai. 

"Di samping itu, prestasi positif ini dicapai berikutan pematuhan KWSP terhadap rangka kerja berhemah yang berkesan untuk meningkatkan dan melindungi simpanan ahli," kata beliau. 

Bagi suku dalam kajian, ekuiti terus memperlihatkan prestasi terbaik dan menghasilkan pulangan pelaburan sebanyak RM3.26 bilion, yang juga peningkatan sebanyak 36.47 peratus atau RM871.75 juta daripada RM2.39 bilion yang dicatatkan pada suku ketiga 2010. 

Pinjaman dan Bon adalah penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan pelaburan KWSP, dengan sumbangan sebanyak RM1.93 bilion bagi suku ketiga 2011. 

"Ini menunjukkan peningkatan 11.29 peratus daripada RM1.73 bilion yang dicapai bagi tempoh yang sama pada 2010," kata dana simpanan persaraan utama Malaysia itu. 

Pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang mantap sebanyak 5.67 peratus kepada RM1.47 bilion berbanding RM1.40 bilion bagi suku yang sama 2010. 

Bagi suku ketiga 2011, pulangan daripada Hartanah mengukuh 23.36 peratus kepada RM28.20 juta daripada RM22.86 juta bagi suku ketiga 2010. 

Instrumen pasaran wang mencatatkan pendapatan RM109.97 juta pada suku ketiga 2011, susut RM98.71 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 

Katanya, ini terutamanya disebabkan oleh perubahan pengagihan pelaburan kepada aset yang memberikan pulangan lebih tinggi dan berjangka panjang untuk mengoptimumkan pulangan seperti pelaburan dalam hartanah global, ekuiti global dan sukuk global. 

"Sebagai dana persaraan, pelaburan KWSP adalah untuk jangka panjang. Dalam sebarang krisis atau kelembapan ekonomi, ada peluang dan prospek yang boleh diteroka disebabkan oleh sifatnya yang saiklikal," kata Azlan. 

"Perubahan dalam landskap ekonomi global memberikan KWSP peluang untuk memperkemas pelaburannya selaras dengan Pengagihan Aset Strategik dengan beralih kepada opsyen pelaburan yang lebih menarik. 

Namun demikian, kata Azlan, memandangkan ketidaktentuan dalam persekitaran pelaburan global, KWSP seperti biasa, akan terus berhati-hati dalam pelaburannya melalui pendekatan pelaburan berisiko rendah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment