My Add

Monday 5 December 2011

FOMCA cadang sistem ”recall” barangan rosak diperkenal

PETALING JAYA, ISNIN  05 Disember, 2011:
SISTEM ”recall” bagi menarik balik daripada pasaran barangan yang rosak perlu diwujudkan sebagai mekanisme bagi melindungi hak pengguna agar tidak terbeban dengan kos kerugian berpunca daripada kesalahan pengeluar, kata Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Datuk Paul Selva Raj.

Beliau berkata, sistem itu berfungsi untuk menarik semula sebarang produk atau barangan yang rosak yang telah dibeli pengguna.

"Selepas penarikan semula produk tersebut dibuat, pengeluar atau penjual kemudiannya harus bertanggungjawab sama ada untuk membaiki, menggantikan produk kepada yang baru atau membayar ganti rugi.

"Kita tidak mahu pengguna terus menanggung kerugian atas kesilapan pihak pengeluar, sebagai contoh sekiranya kita membeli makanan tetapi didapati ia tidak boleh dimakan, jadi kerugian dalam hal-hal sebegini ditanggung oleh pengguna,” katanya pada sidang akhbar sempena Hari Persaingan Sedunia di sini hari ini.

Selva Raj berkata, sistem itu perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada undang-undang yang perlu diwajibkan kepada setiap pengeluar agar penguatkuasaannya dapat dijalankan bagi memastikan kebajikan pengguna sentiasa terjaga.

"Sekiranya ada pengeluar atau syarikat yang ingin bertanggungjawab dalam masalah seperti dinyatakan dan memberikan pampasan atau sebagainya secara sukarela, itu adalah lebih baik, tetapi sekiranya itu tidak berlaku, maka penguatkuasaan melalui undang-undang perlu ada,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment