My Add

Monday 12 December 2011

Ibrahim Ali kutuk tindakan MB Selangor

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mengutuk tindakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyampaikan ucapan taat setia berunsurkan politik semasa Istiadat Hari Keputeraan dan Pengurniaan Darjah Kebesaran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam.

Beliau yang hadir pada istiadat yang berlangsung di Istana Alam Shah, Klang berasa sedih dan dukacita dengan tindakan Menteri Besar Selangor itu kerana tidak mencerminkan budaya Melayu Islam.

"Istiadat itu sepatutnya dimurnikan dengan ucapan taat setia kepada baginda dan bukannya ucapan politik yang mengutuk pihak-pihak tertentu dalam pelbagai isu.

"Itu tidak kena pada tempatnya dan saya tiada pilihan selain mengutuk sikap berkenaan yang nyata di luar batasan demi kesejahteraan dan kedaulatan raja-raja Melayu yang merupakan 'payung' rakyat, negeri dan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Ibrahim, tidak sepatutnya mana-mana Menteri Besar atau Ketua Menteri mengambil peluang meraih simpati ketika berucap sempena istiadat berkenaan.

"Kelakuan Menteri Besar Selangor itu berbeza dengan pemimpin negeri-negeri di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN). Saya mahu bertanya apakah ucapan yang disampaikan itu mewakili orang Melayu Islam atau semua kaum.

"Beliau tidak seharusnya lupa bahawa jika tiada orang Melayu, tiada juga beliau sebagai Menteri Besar Selangor memandangkan majoriti rakyat Selangor adalah orang Melayu," jelasnya.

Katanya, sememangnya rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum tetapi di dalam Perlembagaan negara masih ada lagi perkara-perkara yang tersirat dari segi kedudukan Islam, raja-raja Melayu dan adat istiadat Melayu.

"Saya berharap semoga selepas ini perkara seumpama ini tidak berulang dan majlis-majlis istiadat dicemari dengan emosi serta nafsu politik pihak-pihak tertentu yang mementingkan diri apabila membawa kepentingan parti," ujarnya. - UM

No comments:

Post a Comment