My Add

Monday 12 December 2011

MB ambil peluang sebar agenda politik

KLANG, ISNIN, 12 Disember, 2011:
MENTERI Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam mengambil kesempatan menyebarkan agenda politiknya ketika menyampaikan ucapan taat setia mewakili rakyat negeri ini kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena ulang tahun hari keputeraan baginda ke-66 di Istana Alam Shah di sini.

Dalam ucapan selama kira-kira 30 minit itu, Abdul Khalid seolah-olah cuba berkempen kepada para hadirin dan tetamu diraja yang hadir pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor itu.

Menteri Besar itu dilihat cuba mengalihkan tumpuan di atas kelemahan urus tadbir kerajaan negeri di bawah pentadbirannya apabila mendakwa kononnya Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor terpaksa menanggung bebanan yang kononnya ditinggalkan oleh kerajaan negeri terdahulu.

"Ketika mengambil alih pentadbiran, Pakatan Rakyat tidak bergerak dalam ruang vakum, sebaliknya perlu bergerak dengan apa yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu.

"Ini termasuklah hutang tertunggak kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah lebih RM800 juta. Alhamdulillah, hutang tersebut dapat dilunaskan sebanyak RM173 juta pada 2010," katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid turut memperlekehkan perjuangan yang menonjolkan bangsa dan agama seseorang kerana menganggapnya tidak lagi sesuai diamalkan di negeri ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum.

"Kepimpinan patik berpendapat, penonjolan bangsa dan agama untuk mendapat sokongan pihak tertentu kini sudah tidak lagi sesuai di Malaysia apatah lagi di Selangor yang penduduknya terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan kecenderungan terhadap fahaman politik yang berbeza-beza.

"Maka, kepimpinan patik sentiasa mengingatkan rakyat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negeri dan negara adalah terjamin dalam Perlembagaan, demikian juga kedudukan hak semua kaum di Malaysia yang bebas beragama," ujarnya. - UM

No comments:

Post a Comment