My Add

Saturday 10 December 2011

Ikrar setia dilafaz 2 kali pada Perhimpunan Agung UMNO 2011

KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Disember, 2o11: 
PERHIMPUNANAN Agung UMNO 2011 dianggap unik di kalangan pemerhati politik kerana buat pertama kali dalam sejarah parti itu menyaksikan 5,447 perwakilan daripada 191 bahagian melafazkan ikrar taat setia kepada parti atau seperti dilaporkan banyak media 'berbai'ah', bersumpah.

Bukan sekali, malah dua kali ikrar dilafazkan ahli dan pemimpin UMNO pada perhimpunan itu iaitu pertama ketika majlis Taklimat Presiden UMNO di depan Datuk Seri Najib Razak pada 30 November dan kedua pada akhir perhimpunan 3 Disember yang diketuai Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Ikrar taat setia yang dilafazkan perwakilan menjadi elemen penguat kepada ahli UMNO untuk komited kepada parti bagi memastikan kemenangan setiap calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang. 

Ada juga cakap-cakap sebelum ini yang mengatakan bahawa ikrar taat setia 
terpaksa dibuat memandangkan terdapat segelintir ahli UMNO yang tidak taat 
setia kepada parti. Adakah benar bahawa mereka tidak taat setia? 

Najib yang juga Perdana Menteri, dalam ucapan penggulungan beliau pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2011 juga menegaskan kekalahan UMNO pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008 adalah disebabkan ada ahli yang 
mengkhianati parti. 

Sejauh manakah lafaz ikrar taat setia atau yang dilaporkan banyak media sebagai bai'ah itu mampu dan berkesan dalam membendung masalah itu dan mengikat kesetiaan ahli UMNO? 

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata bai'ah adalah satu 
perkara yang tidak boleh dipandang remeh di kalangan ahli UMNO, malah ia memberi implikasi yang besar terhadap kehidupan mereka sebagai umat Islam. 

"Bai'ah dalam UMNO seingat saya belum lagi dibuat sebelum ini," katanya, yang menambah bahawa kalau ikrar taat setia yang dilakukan baru-baru ini adalah bai'ah, inilah pertama kali. Bila berbai'ah ia berkait dengan agama. 

"Orang Melayu, bila berbai'ah atau erti kata lain bersumpah, bila beliau melanggar sumpah itu, beliau akan dilaknat Allah. Jangan permainkan bai'ah ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Mengulas dakwaan bahawa UMNO terpaksa membuat ikrar itu kerana ada 
segelintir ahli yang tidak taat setia kepada parti, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, tujuan ikrar itu adalah untuk 'mengikat' kelakuan ahli UMNO daripada mengkhianati parti. 

Katanya, UMNO berharap dengan ikrar itu juga dapat menambah baik keadaan 
dalaman parti daripada perpecahan sekaligus mengelakkan berlakunya sabotaj 
terhadap calon yang dipilih pucuk pimpinan untuk bertanding dalam pilihan raya 
akan datang. 

Beliau juga berpendapat, bahawa ikrar adalah salah satu cara yang mampu 
menghapus sikap berpuak-puak di kalangan ahli UMNO, sekali gus dapat membentuk satu pasukan yang mantap ketika menghadapi pilihan raya. 

Ahmad Atory berkata, dalam memastikan UMNO terus mencapai kemenangan dalam pilihan raya, selain faktor calon boleh menang, kebajikan bekas wakil rakyat mereka yang terdahulu juga perlu diberikan perhatian. 

"Pada pandangan saya, jika bekas calon tidak dipilih semula, sepatutnya pucuk pimpinan parti menimbangkan untuknya tempat dalam politik. Jangan sampai dia merasa diketepikan begitu sahaja. 

"Meskipun dikatakan beliau tidak memberikan pencapaian perkhidmatan seperti 
yang diharapkan ketika menjadi wakil rakyat, berilah jawatan lain yang sesuai 
kepada beliau. Ini supaya beliau dapat terus membantu mengukuhkan parti dan 
tidak berbuat sebaliknya. 

"Jangan dibiar hidupnya terdesak. Kalau ini diambil kira saya rasa tidak akan ada unsur sabotaj berlaku dan UMNO tidak mempunyai masalah mengekalkan kuasa," katanya. 

Cukupkah sekadar 5,447 perwakilan pada perhimpunan agung itu yang berikrar 
taat setia? Persoalan ini bermain di kepala banyak perwakilan, yang berpendapat 
bukan saja mereka tetapi juga semua lebih 3.2 juta ahli di semua cawangan dan 
bahagian perlu berikrar serupa. 

Penganalisis politik, Che Hamdan Mohamed Razali, berkata perwakilan yang 
melafazkan ikrar pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 perlu melafazkan sekali lagi di peringkat akar umbi. 

Katanya, ia membolehkan ahli akar umbi mengetahui dan merasai betapa serius dan komitednya pucuk pimpinan parti yang mahukan UMNO dan BN mencapai kemenangan lebih baik pada pilihan raya umum akan datang. 

"Ikrar itu adalah satu ikatan individu kepada parti dari segi taat setia dan perjuangannya untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara. Kalau niat nak masuk parti hanya kerana projek dan jawatan, maka ikrar itu tidak akan ke mana. 

"Ikrar yang dilafazkan itu tepat pada masanya dalam mana Umno menangguhkan 
pemilihan parti dan menumpukan kepada persiapan pilihan raya umum akan datang. 

Ia juga mampu mengelakkan undi protes jika ia dihayati oleh semua ahli UMNO," 
katanya. 

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dungun, 
Terengganu itu, berkata dari segi tradisinya ketua bahagian lazimnya dipilih sebagai calon, namun dalam landskap politik semasa, jawatan itu bukanlah 'tiket mudah' untuk dipilih secara automatik bertanding dalam pilihan raya. 

Beliau berkata, hasil kajiannya dalam beberapa siri pilihan raya umum atau 
pilihan raya kecil mendapati, selain faktor tidak berpuas hati kerana tidak dipilih menjadi calon, sikap calon pengganti yang tidak menghormati bekas wakil rakyat turut menjadi faktor kekalahan UMNO di satu-satu kawasan. 

"Jadi eloklah ikrar taat setia ini dilakukan awal supaya siapa-siapa yang hadir pada perhimpunan itu tetapi tidak dipilih sebagai calon, akan redha dan menyokong penuh calon yang dipilih demi kemenangan parti," katanya. 

Sementara itu EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Pirdaus Ismail, melihat 
ikrar yang diketuai Muhyiddin itu sebagai peringatan kepada seluruh ahli supaya meluruskan niat sebelum menghadapi pilihan raya umum akan datang yang disifatkan paling getir. 

Katanya, ikrar tersebut perlulah disertakan dengan niat yang ikhlas supaya 
perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara dirahmati Allah dan beroleh 
pahala. 

"Kalau orang itu berniat dengan ikhlas ketika membacakan ikrar itu, maka ini 
adalah satu kerja yang berpahala. Tiada salahnya isi kandungan ikrar itu.

Kandungannya menyeru ke arah kebaikan. Kalau seseorang itu tidak menerima ikrar itu, bermakna beliau menolak kebaikan. Berdosa atau tidak, ia terserah kepada Allah," katanya, yang juga bekas Imam Masjid Negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment