My Add

Thursday 15 December 2011

Isma tegur pemimpin tertinggi Pas

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 Disember, 2011:
PARA pemimpin tertinggi Pas serta penyokong parti itu diseru supaya tidak mengambil pendekatan 'berpatah arang' dengan pihak tertentu sehingga sanggup mengetepikan kepentingan umat Islam dan Melayu di negara ini.

Justeru, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta para pemimpin dan penyokong Pas supaya mencontohi pendirian Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali yang bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak di luar Pas demi kepentingan tersebut.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, kesediaan Hasan itu menunjukkan beliau memegang kuat prinsip perjuangan Islam di negara ini melebihi kepentingan politik, terutama dalam konteks geopolitik negara yang semakin berubah.

Katanya, kesanggupan Hasan memikul tanggungjawab sebagai jambatan di antara perpaduan Pas dan UMNO wajar dipuji sehingga beliau tidak kisah jika tidak terpilih sebagai calon Pas pada pilihan raya umum akan datang.

"Sikapnya yang positif untuk bekerjasama dengan UMNO bukan sikap biasa dalam orang-orang Pas yang berpatah arang dengan UMNO, sikap sebegini tidak perlu, jadi apa yang dilakukan oleh Hasan perlu dicontohi.

"Saya minta mereka (Pas) memegang kepada perjuangan yang asal maknanya tidak melihat perpaduan dari kaca mata parti tetapi siasah dan maqasid syariah, bukan sentimen parti semata-mata," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid pula berkata, semua pihak terutama dari Pas seharusnya mengalu-alukan apa sahaja usaha yang dilakukan untuk pengukuhan kedudukan dan kekuatan umat Islam.

Menurutnya, usaha itu perlu dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas kerana ia selari dengan tuntutan agama serta ajaran al-Quran.

"Perhitungan politik tidak harus mengatasi kepentingan Islam dan walau apa pun pengalaman kita selama 54 tahun, prinsip memperjuangkan Islam perlu diketengahkan dan diperkasakan secara bersungguh-sungguh," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment