My Add

Sunday 25 December 2011

Isu pemuda Melayu kahwin lelaki masih disiasat

KUALA TERENGGANU, AHAD, 25 Disember, 2011: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas seorang pemuda Melayu yang dikatakan berkahwin dengan lelaki Ireland di luar negara seperti yang tersiar dalam Internet baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, siasatan tersebut dijalankan dengan kerjasama Kementerian Luar selain beberapa agensi lain yang berkaitan dan juga pihak berkuasa negara terlibat sebelum tindakan selanjutnya dilakukan.

Beliau memberitahu, siasatan tersebut penting bagi memastikan kesahihan laporan mengenai perkahwinan pelajar berkenaan yang mengejutkan banyak pihak selain menggemparkan negara.

"Kita sedang siasat perkara ini dan nak tahu apa sebenarnya masalah yang dihadapi lelaki berkenaan.

"Malah, siasatan juga akan menyentuh mengenai sama ada benar atau tidak pelajar terlibat berkahwin dengan lelaki Eropah di dalam gereja seperti yang dilaporkan," katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan di Primula Beach Resort di sini, semalam.

Ketika diminta mengulas tentang perkahwinan lelaki tersebut, Othman berkata, buat masa ini, pihaknya belum menerima maklumat terbaru mengenai lelaki berkenaan, namun beliau yakin ia akan dapat diperoleh dalam waktu terdekat.

Beliau turut mengakui menghadapi kesukaran untuk menangani masalah itu termasuk membawa balik lelaki terbabit ke Malaysia kerana ia terletak di bawah bidang kuasa dan perundangan negara lain.

"Kita perlu hormati undang-undang negara lain, sebab itulah kita kena bekerjasama dengan banyak pihak termasuk pihak berkuasa negara yang berkenaan berhubung isu ini," ujarnya. - MM

No comments:

Post a Comment