My Add

Sunday 25 December 2011

Nasihat polis pada Adam Adli

KHALID Abu Bakar (tengah) bersama Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff di kawasan perniagaan Sungai Segget pada Program 'Walkabout' kawasan yang kerap berlaku jenayah di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU, AHAD, 25 Disember, 2011: Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim diminta membuat laporan polis sekiranya menerima sebarang ugutan yang mengancam diri dan keluarganya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan jika benar perkara tersebut berlaku.

"Jika dia (Adam Adli) serta ahli keluarganya terima ugutan atau sebagainya, buat laporan polis dan kita akan siasat.

"Saya juga ingin nasihatkan agar lain kali dia fikirkan dulu kesan dan akibat sebelum melakukan sesuatu tindakan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini, semalam.

Beliau sebelum itu mengadakan 'walkabout' bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff; dan Pesuruhjaya Persekutuan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Benjamin Hasbie di sekitar bandar raya ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Adam Adli, 22, diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara berhubung beberapa siri ugutan yang diterimanya setelah menurun dan menggantikan bendera tertera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu demonstrasi baru-baru ini.

Menurut Khalid, polis setakat ini belum mengambil sebarang tindakan ke atas penuntut itu, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Mengulas mengenai program 'walkabout' tersebut, beliau berkata, kehadiran polis di kawasan-kawasan 'panas' berlakunya jenayah ternyata mendapat maklum balas positif daripada orang ramai.

"Selain penduduk tempatan, pelancong khususnya warga asing yang ditemui nyata menghargai kehadiran polis di tempat awam.

"Bukan sahaja di Iskandar Malaysia, tetapi kita akan pastikan semua kawasan di negara ini dalam keadaan aman," katanya. - MM

No comments:

Post a Comment