My Add

Tuesday 6 December 2011

Jangan ghairah kempen peroleh dua pertiga

KUALA LUMPUR, SELASA, 06 Disember, 2011: 
PEMIMPIN UM NO digesa tidak terlalu ghairah berkempen soal mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga, sebaliknya bertawaduk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, mereka termasuk pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu memikirkan ‘selera’ pengundi dan meminta mereka menyokong supaya kerajaan memperoleh mandat selesa.

‘‘Ini pesanan saya kepada rakan-rakan BN. Kita harus bertawaduk dalam berkempen. Janganlah ghairah berkempen soal dua pertiga tetapi minta pengundi sokong supaya kerajaan dapat mandat selesa.

‘‘Mereka juga jangan rasa angkuh dan sombong apabila berdepan dengan rakyat. Persepsi rakyat sebelum ini melihat pemimpin BN angkuh dan mengamalkan rasuah. Ini harus diperbetulkan.

‘‘UMNO dan BN perlu berubah. Isu-isu kontroversi harus diselesaikan secepat mungkin,’’ katanya pada sidang akhbar di Bandar Utama dekat sini, semalam.

Zahrain berkata, Malaysia sedang menuju negara maju dan pemikiran serta perspektif rakyat kini berbeza berbanding dahulu.

‘‘Dahulu mereka memikirkan soal perkara asas seperti kemudahan jalan raya. Tetapi kini mereka ketengahkan soal kebebasan dan kritikan terbuka.

‘‘Oleh itu, UMNO dan BN yang menunjangi kerajaan ketika ini perlu menentukan masalah serta permintaan rakyat diambil kira,’’ katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, Konsensus Ahli Parlimen Bebas sedia berbincang dengan Barisan Nasional (BN) berhubung PRU13 termasuk soal pembahagian kerusi.

Bagaimanapun, ujarnya, perbincangan itu tidak akan melibatkan pembangkang kerana pembawaan politik mereka yang tidak dapat diterima kalangan ahli konsensus berkenaan. - UM

No comments:

Post a Comment