My Add

Sunday 25 December 2011

JKKKP diminta kenal pasti golongan layak terima BR1M

ALOR SETAR:AHAD, 2 Disember, 2011: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) diminta mengenal pasti individu atau keluarga daripada tercicir mendaftar untuk mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia(BR1M) dengan segera. 

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata ini bagi memastikan golongan tersebut mendapat hak mereka tanpa kompromi.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan komitmen JKKKP membantu kerajaan mengedar dan membantu orang ramai mengisi borang tersebut dengan betul dan
lengkap. 

"Borang BR1M yang diedarkan mulai 10 Disember lalu berjalan lancar dan tiada 
rungutan orang ramai kerana JKKKP memainkan peranan mereka sewajarnya," 
katanya kepada pemberita pada Karnival Mara Bersama Rakyat di sini, malam tadi. 

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata, 200,000 borang BR1M sudah diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Kedah dan lebih 300,000 lagi dijangka diserahkan sebelum tarikh tutup 10 Januari. 

Katanya, orang ramai yang belum mendapat borang tersebut boleh mendapatkannya di rumah JKKKP, pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), UMNO dan agensi kerajaan yang terbabit. 

Terdahulu semasa berucap merasmikan karnival itu di perkarangan Menara Alor 
Setar, beliau meminta usahawan memanfaatkan peluang melalui karnival seumpama ini untuk mempromosikan produk selain menjalin hubungan di kalangan mereka. 

Turut hadir Pengarah MARA Kedah, Hanafiah Lazim dan Pengurus Besar Menara 
Alor Setar, Hariyati Tahir. 

Karnival tiga hari itu yang bermula Jumaat lalu sehingga hari ini disertai 
40 usahawan bimbingan Mara yang mempamerkan pelbagai produk seperti makanan, minuman, barangan kesihatan dan kraftangan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment