My Add

Sunday 11 December 2011

'Kaji gerakan murtad sebelum jadi serius'

KUALA LUMPUR, AHAD, 11 Disember, 2011:
SATU kajian berkaitan gerakan memurtadkan orang Islam di negara ini perlu dilakukan supaya ia dapat ditangani dengan segera sebelum menjadi semakin serius.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot berkata, kajian tersebut bagi merangka gerak kerja dan menyediakan rumusan kepada semua pihak berwajib untuk menangani kegiatan tersebut.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian oleh badan-badan berkaitan seperti majlis agama islam negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam serta universiti-universiti.

Beliau memberi contoh, umat Islam yang jahil mengenai agama memberi peluang kepada gerakan itu untuk memurtadkan mereka.

"Kita perlu bersama-sama menjalankan kajian secara terperinci dengan mendapatkan maklumat berkaitan masalah ini.

"Seterusnya kita bawa fakta ini ke peringkat lebih tertinggi dan membentangkannya serta menilai cara terbaik untuk menangani masalah itu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya pihak-pihak yang bertanggungjawab terutama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil langkah-langkah strategik bagi menangani gerakan memurtadkan orang Islam.

Menurut Nooh, tindakan perlu dibuat dari peringkat akar umbi iaitu menerapkan soal akidah dan tauhid di rumah dan juga sekolah.

"Semua pihak perlu menggalas tanggungjawab untuk mengatasi masalah ini. Ia adalah cabaran kita dalam memelihara kesucian Islam," ujarnya.

Sementara itu, seorang peguam, Ikbal Salam berkata, pihak berkaitan perlu membina benteng bagi melindungi akidah umat Islam dengan mengadakan usaha dakwah yang segar dan relevan dengan kehendak masyarakat.

"Selain itu, bagi melindungi akidah umat Islam satu akta khusus perlu diwujudkan bagi melarang penyebaran agama lain terhadap orang Islam. Ia penting bagi memastikan persoalan murtad dan masuk Islam dikawal dengan sempurna di negara ini," jelasnya. - MM

No comments:

Post a Comment