My Add

Sunday 11 December 2011

'Perpustakaan dalam taman'

SHAH ALAM, AHAD, 11 Disember, 2011: Sultan Selangor, 
SULTAN Sharafuddin Idris Shah semalam berkenan merasmikan bangunan baru Perpustakaan Raja Tun Uda di Seksyen 13, di sini yang merupakan idea baginda sendiri, sebagai mercu tanda Selangor sebuah negeri maju.

Perpustakaan berkonsepkan dalam taman dengan dilengkapi kemudahan yang canggih itu merupakan hadiah daripada baginda kepada rakyat bersempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-66 Sultan Selangor esok.

Justeru, baginda berharap agar perpustakaan tersebut tidak dipolitikkan baik dari segi pentadbiran atau penggunaannya bagi membolehkan ia menjadi sebuah gedung ilmu untuk rakyat jelata. lapor HELMI MOHD. FOAD

''Harapan beta dengan adanya perpustakaan ini, rakyat Selangor akan sentiasa aktif mencari lebih banyak ilmu pengetahuan, di samping mempunyai pemikiran waras dan matang serta mempunyai cita-cita yang tinggi.

''Dengan yang demikian, negeri Selangor akan bertambah maju serta rakyatnya mempunyai pemikiran yang terbuka dan memahami antara satu sama lain, tidak menyimpan syak wasangka serta hidup dengan aman dan makmur," titah baginda pada majlis perasmian bangunan baru perpustakaan itu.

Turut berangkat, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan adinda baginda, Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Exco-exco kerajaan negeri dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad.

Bangunan perpustakaan baru yang menelan kos sejumlah RM60 juta selain RM10 juta bagi kos hiasan dalaman mula dibuka kepada umum sejak 22 Julai lalu dengan jumlah pengunjung hingga 30 November lalu mencecah 140,000 orang manakala pendaftaran keahlian baru seramai 8,446 orang.

Bangunan setinggi enam tingkat berkeluasan 18,922 meter persegi itu boleh memuatkan 2,500 pengunjung dalam satu-satu masa.

Sultan Sharafuddin bertitah, idea pembinaan perpustakaan baru tersebut timbul ketika kerajaan negeri dahulu bercadang membina sebuah monumen sebagai pengisytiharan Selangor negeri maju pada 2005.

''Beta berpendapat pembinaan monumen tidak dapat dimanfaatkan oleh rakyat tetapi dengan adanya pembinaan perpustakaan baru dan canggih, ia dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Selangor yang berbilang kaum.

''Beta memilih lokasi perpustakaan ini dengan membawa konsep perpustakaan dalam taman yang selesa dan kondusif supaya pengunjung boleh mencergaskan minda di samping boleh beriadah sambil membaca buku dan bahan-bahan ilmiah yang lain," titah baginda.

Baginda juga menitahkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menjaga tanah di sekeliling perpustakaan itu dan dipelihara kehijauannya serta alam sekitar di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan sejumlah 1,200 naskhah buku merangkumi pelbagai bidang antaranya kepimpinan dalam politik, sejarah, ketenteraan, sukan, muzik, kesenian, perniagaan dan lain-lain lagi kepada perpustakaan tersebut.

''Pada peringkat permulaan, beta akan mengurniakan lebih kurang 509 naskhah buku dan selebihnya akan dikurniakan secara berperingkat-peringkat sehingga selesai selewat-lewatnya Mac 2012," titah baginda.

Baginda juga mahu jumlah buku di perpustakaan tersebut ditambah bagi mempelbagaikan rujukan kepada pengunjung memandangkan jumlahnya kini terdapat sekitar 190,000 naskhah buku berbanding keseluruhan rak boleh memuatkan sehingga 400,000 naskhah buku.

Perpustakaan Raja Tun Uda yang terletak di Jalan Kelab Golf, 13/6 Seksyen 13 di sini dibuka kepada pengunjung tujuh hari seminggu iaitu Isnin dari 10 pagi hingga 6 petang; Selasa hingga Jumaat dari pukul 9.30 pagi hingga 6 petang manakala Sabtu dan Ahad dari pukul 9.30 pagi hingga 5 petang - MM

No comments:

Post a Comment