My Add

Thursday 15 December 2011

Kencana unjur pertumbuhan perolehan tambahan 15-20%

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 Disember, 2011: 
KENCANA Petroleum Bhd optimistik dapat memanfaatkan sinergi perolehan apabila bergabung dengan SapuraCrest Petroleum Bhd, dan mensasarkan antara 15 dan 20 peratus kadar pertumbuhan perolehan tahunan selepas penggabungan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mokhzani Mahathir, berkata selepas penggabungan, syarikat, yang dikenali sebagai Sapura Kencana Petroleum Bhd, akan memberi tumpuan kepada usaha memanfaatkan sinergi sebagai sebuah entiti yang digabungkan untuk memastikan bahawa ia mempunyai keupayaan yang tepat untuk mendapatkan projek-projek lebih besar dan kompleks.

"Gabungan keupayaan menjadikan kami peserta sepenuhnya, EPCIC bersepadu (kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pengoperasian) dengan rantaian nilai yang kukuh dan asas aset berkembang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Kencana dan mesyuarat agung luar biasa (EGM) di sini hari ini.

Beliau berkata, entiti baru berkenaan akan mempunyai sinergi kukuh yang diperoleh daripada projek-projek premium yang secara berkesan menggunakan kepakaran, amalan terbaik dan keupayaan kedua-dua syarikat. 

Pada EGM itu, pemegang saham Kencana memberikan pesetujuan kepada cadangan penggabungan antara syarikat dan SapuraCrest, dengan lebih 90 peratus memihak kepada cadangan berkenaan. 

Mokhzani berkata selepas penggabungan itu, Sapura Kencana akan menyatukan perniagaan di Australia dan Amerika Latin di mana mereka telah mengukuhkan kehadiran mereka sebelum meneroka pasaran baru seperti Amerika Utara dan Asia Tengah. 

"Bagi Asia Tengah, kami percaya pasaran akan berkembang pesat dalam masa beberapa tahun akan datang. Oleh itu, kami akan melihat apa yang boleh dilakukan untuk memberikan perkhidmatan kami di sana," katanya. 

Dengan jumlah aset kira-kira RM11.85 bilion, Sapura Kencana akan menjadi satu daripada lima peserta sokongan perkhidmatan minyak dan gas utama dunia mengikut asas aset apabila penggabungan itu selesai, yang dijadualkan pada Februari tahun depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment