My Add

Thursday 15 December 2011

Undang-undang bersara umur 60 tahun swasta ke Parlimen

MELAKA, KHAMIS, 15 Disember, 2011:
RANG undang-undang mengenai had umur persaraan 60 tahun bagi sektor swasta akan dibentang pada sesi Parlimen akan datang, jika perkara itu diterima wakil majikan dan pekerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pada masa ini perkara tersebut masih dalam perbincangan di antara Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MUTC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

"Ini adalah satu rancangan kementerian (untuk umur bersara pekerja swasta dilanjutkan 60 tahun) dan kita masih dalam proses menggubal rang undang-undang itu," katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen ke sembilan Kolej Antarabangsa Melaka (KAYM), di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar hari ini bahawa umur persaraan pekerja sektor swasta akan dilanjutkan daripada 55 kepada 60 tahun, selepas mendapat sokongan MTUC dan MEF.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata pada masa ini had umur persaraan sektor swasta tidak ditetapkan dari segi perundangan.

"Umur bersara mereka terpulang kepada majikan yang mempunyai pendirian masing-masing dalam isu itu," katanya.

Beliau berkata rang undang-undang itu mengambil kira jangka hayat penduduk negara yang kini meningkat kepada 75 tahun. 

"Bermakna seseorang itu pada umur persaraan 55 tahun, masih mempunyai 20 tahun kehidupan untuk mereka aktif dan bila tidak lagi bekerja akan menimbulkan banyak masalah," katanya.

Beliau berkata apabila diluluskan kelak, rang-rang undang itu juga akan memberi perlindungan kepada pekerja swasta.

Pada majlis itu, seramai 410 graduan menerima ijazah, diploma dan sijil.

Majlis turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment