My Add

Thursday 15 December 2011

Kenyataan bersifat peribadi - Khalid Ibrahim

SHAH ALAM, KHAMIS, 15 Disember, 2011: MENTERI Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Dr. Hasan Ali berhubung pendiriannya untuk terus bersama dengan mana-mana parti yang memperjuangkan Islam, kedudukan orang Melayu dan raja-raja Melayu adalah bersifat peribadi.

Beliau berkata, kenyataan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam itu tidak mempunyai kaitan langsung dengan pendirian pakatan pembangkang atau kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, sebarang perbezaan pendapat yang wujud termasuk melibatkan Hasan adalah satu perkara yang normal dalam mana-mana parti politik.

"Pakatan pembangkang sentiasa mengamalkan prinsip menghormati pandangan peribadi mana-mana pemimpin, namun begitu wujud peraturan tertentu.

"Terdapat peraturan untuk menghormati pendapat setiap parti, sebarang perubahan dalam pengurusan di peringkat negeri akan dibincangkan dalam parti," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.

Sebelum ini, Hasan dalam sidang akhbarnya bagi memberi penjelasan berhubung laporan beliau digugurkan daripada senarai calon Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 menegaskan bahawa beliau akan terus bersama dengan mana-mana organisasi atau parti yang memperjuangkan tiga prinsip iaitu agama Islam, Melayu dan institusi raja.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia tidak menolak kemungkinan menyertai mana-mana parti yang memperjuangkan tiga prinsip tersebut pada masa hadapan.

Dalam masa sama beliau menjelaskan, adalah tidak mudah baginya untuk meninggalkan Pas sebagai wadah perjuangan yang dipilihnya sejak sekian lama sebaliknya pertimbangan perlu dibuat dengan mendapatkan nasihat terlebih dahulu daripada rakan-rakan politik, ulama dan penasihat hal ehwal agamanya. -  UM

No comments:

Post a Comment