My Add

Saturday, 17 December 2011

Kerajaan biaya 10 pelajar UPNM untuk program pertukaran

KUALA LUMPUR, SABTU, 17 Disember, 2011: Kementerian Pertahanan menawarkan pembiayaan kepada 10 mahasiswa terbaik Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk mengikuti program pertukaran mahasiswa di Universiti Pertahanan Nasional Indonesia (UPNI) tahun depan. 

Ia dalam usaha memberikan pendedahan meluas tentang pendidikan tentera kepada mereka yang terpilih.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata UPNM akan memilih 10 mahasiswa berkenaan melalui peperiksaan akhir semester yang dijangka berlangsung awal tahun depan.

Beliau berkata program itu adalah sebahagian daripada insentif kepada mahasiswa cemerlang UPNM supaya mereka sentiasa mempunyai daya saing, semangat motivasi tinggi di samping tekun belajar dan aktif dalam bidang sahsiah. 

"Saya mahu mahasiswa UPNM sentiasa mencipta kecemerlangan dalam pelbagai bidang selain akademik dan ketenteraan," katanya ketika berucap pada majlis Menteri Mentor di universiti berkenaan semalam. 

Ahmad Zahid menarik perhatian bahawa mahasiswa yang diterima belajar di situ adalah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang. 

Katanya, setiap tahun UPNM menerima kira-kira 3,000 permohonan tetapi hanya 300 pelajar sahaja dipilih untuk menyambung pelajaran di institusi berkenaan. Menteri itu berkata setiap pelajar menerima elaun bulanan sebanyak RM1,500. 

Namun, ada segelintir mahasiswa yang meninggalkan UPNM sebelum tamat pengajian kerana dikatakan tidak mampu mematuhi peraturan dan disiplin ditetapkan, termasuk memakai pakaian seragam ketika menjalani kursus di situ. 

Ahmad Zahid menegaskan setiap pelajar UPNM mesti mempunyai daya tahan yang tinggi di samping bersemangat dan berdisiplin jika mahu berjaya dalam bidang pendidikan ketenteraan, sekaligus menjadi pemimpin terbaik suatu masa nanti. 

Beliau berkata dalam arus globalisasi masa kini, pegawai tentera mungkin boleh menjadi pegawai tinggi kerajaan, menteri bahkan perdana menteri seperti yang berlaku di beberapa negara lain. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment