My Add

Saturday, 17 December 2011

Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia Putrajaya diperkenalkan

PUTRAJAYA, SABTU, 17 Disember, 2011: Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Perbadanan Putrajaya memperkenalkan lapan Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia Putrajaya sebagai satu lagi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi Putrajaya. 

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata ia adalah antara produk pelancongan domestik terbaru kementerian itu sebagai menyokong usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.

"Berbasikal adalah baik untuk kesihatan selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Di Putrajaya, semua infrastruktur untuk berbasikal sudah disediakan bagi orang ramai menaiki basikal," katanya selepas melancarkan pakej itu di Dataran Putra di sini, hari ini.

Beliau kemudiannya berbasikal sejauh lima kilometer bersama beberapa tetamu kenamaan lain bermula dari dataran itu hingga ke Pejabat Perbadanan Putrajaya dan kembali menamatkan kayuhan di dataran berkenaan. 

Pakej berbasikal itu dibangunkan 3T Travel Tours Sdn Bhd dan Inter-Orient Travel & Tours Sdn Bhd di mana 3T Travel Tours menawarkan dua pakej lawatan berbasikal pada waktu malam di sekitar Putrajaya dengan harga berbeza iaitu RM250 seorang (empat jam berbasikal tanpa penginapan) atau RM450 seorang meliputi aktiviti berbasikal dan penginapan di hotel empat atau lima bintang. 

Pakej disediakan Inter-Orient Travel & Tours pula menawarkan harga serendah RM80 sehingga RM288 seorang, bergantung sama ada mereka ingin menginap di hotel lima bintang yang disediakan atau sebaliknya. 

Mereka boleh menaiki basikal bermula di Dataran Putra, Putrajaya Sentral atau hotel penginapan yang ditetapkan. 

Sementara itu, Dr Ng berkata, kempen pelancongan domestik Cuti-Cuti 1Malaysia yang diperkenalkan pada 2009 menunjukkan prestasi membanggakan apabila jumlah pelancong domestik tahun itu meningkat daripada 74.7 juta orang kepada 115.5 juta orang pada 2010. 

“Jumlah perbelanjaan pelawat domestik tahun lalu mencatatkan RM34.7 bilion berbanding RM26 bilion pada 2009. 

"Jumlah pelancong domestik ke Putrajaya pula adalah sebanyak satu juta orang pada 2010 berbanding 299,000 pada 2009," katanya. - BERNAMA

1 comment: