My Add

Wednesday 21 December 2011

Kerani bank mati ditikam 15 kali, lelaki maut ditembak 10 das

KUALA LUMPUR, RABU, 21  Disember, 2011: Seorang kerani bank maut selepas ditemui berlumuran darah dengan 15 tikaman di bahagian belakang badan di rumah sewanya di Puncak Desa, Kepong, awal pagi tadi. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superitendan Rosly Hassan, berkata Rozana Mohd Yusak, 35, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam kejadian jam 1.30 pagi tadi.

Sebelum itu, Rozana dilihat oleh pekerja restoran di kawasan berhampiran seakan-akan meminta pertolongan di tingkap rumahnya, katanya.

"Pekerja restoran tersebut terus menghubungi polis sebelum pasukan polis tiba ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa yang berlumuran darah. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa ditikam selain terdapat banyak kecederaan lain di badannya," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini, hari ini. 

Katanya, mangsa yang tinggal berseorangan di rumah itu ditemui berseluar pendek dan singlet serta tiada pengenalan diri, telefon bimbit dan senjata ditemui. 

Rosly berkata, ketika polis tiba, rumah tersebut dalam keadaan berselerak serta terdapat kesan pergelutan. 

Katanya, polis masih menyiasat motif kejadian selain tidak menolak kemungkinan terdapat unsur cemburu. 

"Motif cemburu mungkin boleh dikaitkan dengan kematian mangsa berdasarkan kesan tikaman yang banyak dan ia seperti dilakukan oleh seseorang yang memang berdendam dengan wanita itu," katanya. 

Beliau berkata, polis sedang menjejaki teman lelaki wanita itu untuk membantu siasatan. 

"Mayat mangsa dihantar ke HKL untuk bedah siasat dan polis menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh." 

Sementara itu bapa mangsa, Mohd Yusak Suparman, 64, ketika ditemui pemberita di Bilik Mayat HKL berkata, beliau hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak sulungnya itu kira-kira jam 6.30 pagi tadi apabila dimaklumkan anak saudaranya. 

"Pakcik tinggal di Ijok, Kuala Selangor...Selepas diberitahu anak saudara pakcik tentang Rozana, terus pakcik ke sini (HKL)," katanya. 

Beliau yang juga seorang pesara berkata, kali terakhir berjumpa Rozana kira-kira seminggu yang lalu. 

"Dia (Rozana) seorang yang peramah dan pakcik tak sangka kejadian ini boleh berlaku kepadanya," katanya. 

Katanya, Rozana yang bekerja di bank berkenaan lebih 10 tahun sebelum ini pernah memintanya membelikan sebuah komputer riba, namun hajat itu tidak dapat ditunaikan. 

Lelaki mati ditembak 10 das 

Sementara itu, seorang lelaki yang sedang menunggu di dalam kereta mati ditembak sekumpulan lelaki di perkarangan Pangsapuri Laksamana Jaya, Kampung Laksamana, Batu Caves, semalam. 

Menurut Rosly, Morgishu Subramaniam, 40, warga tempatan, mati di tempat kejadian selepas terkena 10 das tembakan dari jarak dekat.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa dikatakan sedang menunggu saudara perempuannya, Krisnani Subramaniam, di dalam kereta Toyota Vios.

Katanya, mangsa tiba-tiba didatangi lima lelaki yang memakai topi keledar sebelum 11 das tembakan dilepaskan ke arah mangsa. 

Rosly berkata, 10 das tembakan itu mengenai mangsa manakala satu das lagi mengenai Krisnani yang ketika itu sedang menghampiri kereta mangsa. 

"Mangsa terkulai dan maut di dalam keretanya selepas terkena 10 das tembakan manakala sebutir peluru pula mengenai tulang rusuk kanan Krisnani yang berada berdekatan kereta," katanya. 

Beliau berkata, mangsa terkena satu das tembakan di kepala, dua di dada serta selebihnya di seluruh badan. 

Katanya, kesemua suspek melarikan diri dengan menaiki dua buah kereta iaitu Proton Waja berwarna emas dan Mitsubishi Storm berwarna hitam sebelum jiran yang menyedari kejadian itu menghubungi polis. 

"Dalam kejadian itu, cermin kereta sebelah pemandu pecah akibat tembakan jarak dekat yang dilepaskan dan dipercayai serangan terbabit bermotifkan cemburu dan dendam," katanya. 

Rosly berkata, setakat ini polis menemui tujuh kelongsong peluru di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan ke atas kelongsong tersebut, suspek didapati menggunakan pistol jenis semi automatik 9mm. 

"Kita kini sedang memburu kesemua suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil atau menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan," katanya. 

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat sementara saudaranya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang. 

Difahamkan mangsa bekerja sebagai buruh binaan dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah kekerasan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment