My Add

Tuesday 20 December 2011

Koong Fuee undur diri bertanding PRU-13

KUALA LIPIS, SELASA, 20 Disember, 2011: Ketua Bahagian MCA Lipis, Datuk Fong Koong Fuee antara pemimpin pertama Barisan Nasional (BN) di Pahang membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Koong Fuee yang dipilih selama empat penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka menyifatkan keputusan yang dibuat memang tepat kerana perkhidmatannya sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sudah mencukupi dan cemerlang.

‘‘Saya ingin memberi laluan kepada calon baru MCA di kalangan pemimpin muda yang berwibawa dan memenuhi aspirasi calon boleh menang yang diuar-uarkan oleh pucuk pimpinan tertinggi BN,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas melancarkan Kempen Penurunan Harga Barang dan Penyampaian Sijil Kedai Harga Patut di Pasar Raya Aktif di sini semalam.

Koong Fuee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, beliau sudah menghantar surat kepada Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bagi menyatakan hasrat itu.

‘‘Selaku Ketua MCA Lipis, saya menghantar tiga nama calon pemimpin muda MCA terdiri daripada anak tempatan kepada MCA Pusat untuk dinilai bagi menggantikan saya bertanding mana-mana kerusi di kawasan ini,” katanya.

Katanya, beliau cukup berpuas hati kerana dapat menabur bakti terhadap pengundi dan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka dan negeri ini amnya setelah diberi tanggungjawab sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri selama dua penggal.

‘‘Bagaimanapun, saya menyerahkan kepada pucuk pemimpin tertinggi MCA Pusat dan Pengerusi BN Pahang sama ada masih memerlukan khidmat saya untuk bertanding pada pilihan raya itu nanti. Saya sudah membuat keputusan mengenai pendirian yang ikhlas dan jujur,” ujarnya.

Koong Fuee mengekalkan kerusi DUN Cheka pada PRU12 lalu dengan memperoleh sebanyak 4,391 undi setelah mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ishak Sat yang mendapat 3,111 undi, iaitu majoriti sebanyak 1,280 undi. - UM

No comments:

Post a Comment