My Add

Saturday 10 December 2011

Modal intelektual mampu tentukan maju, mundur negara: Najib


NAJIB dan isteri, Rosmah Mansor melihat gelagat kanak-kanak program Permata pada majlis perasmian Expo Permata 2011 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) hari ini. - Foto BERNAMA 


KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Didember, 2011:
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 
berkata modal keintelektualan atau kebijaksanaan mampu memberi kesan yang lebih besar dalam menentukan maju atau mundurnya sesebuah negara. 

Beliau berkata, terdapat beberapa negara di dunia yang memiliki hasil bumi yang banyak tetapi gagal menguruskan modal intelektual tetapi kini mundur akibat kegagalan mereka menguruskan hasil di buminya.

 "Ada negara tiada hasil seperti Jepun dan Korea Selatan tetapi mereka membangunkan modal keintelektualan dan etika kerja yang begitu kuat maka mereka muncul sebagai negara yang mempunyai kemampuan ekonomi yang sungguh hebat.

"Ada juga negara yang memiliki kekayaan hasil bumi seperti minyak tetapi negara "fail state" atau pun masih mundur lagi kerana kegagalan mereka untuk membangunkan modal keintelektualan mereka," katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Permata di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini. 

Menurut beliau, keistimewaan intelektual tidak boleh dibiarkan berkembang dengan sendiri sebaliknya perlu dipupuk sejak awal lagi terutamanya ketika seseorang itu masih di peringkat kanak-kanak yang berumur dua hingga lima tahun. 

Najib berkata, atas dasar membangunkan modal keintelektualan, kerajaan pada setiap belanjawan memperuntukkan hampir 25 peratus untuk bidang pendidikan dan latihan.

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam usaha memperkasakan modal insan dengan modal keintelektualan terdapat ruang yang lompang dan tidak diberi perhatian sebelum ini ialah kumpulan yang berada di puncak piramid kebijaksanaan masyarakat iaitu mereka yang pintar yang jumlahnya kira-kira satu peratus atau lebih kurang dari itu. 

"Kita telah pastikan mereka yang berada di bawah piramid dan dipertengahan piramid mendapat peluang tetapi di mercu piramid itu barangkali satu peratus ataupun kurang daripada itu di kalangan anak-anak kita yang mempunyai kepintaran IQ luar biasa, mereka ini belum ada program khas untuk mereka. 

"Kalau kita tidak memupuk golongan satu peratus ini, dalam masyarakat kita kita akan kehilangan potensi yang amat besar. Ingat, kalau kita dapat melahirkan beberapa individu pintar sahaja kesan mereka kepada negara kita amat besar sekali," katanya. 

Mengambil contoh ikon dalam sejarah peradaban manusia, Najib berkata, golongan pencipta seperti Thomas Edison (Elektrik) dan Steve Jobs (Komputer Apple) adalah genetik yang jarang terdapat dalam masyarakat manusia tetapi mereka ini tidak boleh menjadi pintar dan hebat dengan sendirinya. 

"Kalau kita biarkan, boleh jadi kita akan dapat seorang atau dua yang umpama sebutir pasir akan jadi mutiara tetapi kalau kita ada program menyeluruh seperi program Permata ini, ratusan malah ribuan anak-anak kita akan menjadi permata yang bernilai untuk negara kita. 

"Yang lemah kita bantu, yang cacat kita bantu, yang sederhana kita bantu, yang berkebolehan kita bantu dan jangan lupa mereka yang ada kebolehan luar biasa ini," kata Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program PERMATA. 

Menurut beliau, dengan adanya program seperti Permata, ia akan dapat membawa Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi yang banyak bergantung kepada kemampuan membangunkan modal intelektual berserta dengan nilai-nilai murni. 

Sementara itu, isteri Perdana Menter, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung PERMATA ketika berucap berkata, ekspo ini adalah yang julung kali diadakan untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri pelaksanaan program itu sejak mula dilaksanakan pada 2006. 

"Inilah pertama kali orang awam berpeluang melihat pelaksanaan Permata, hasil kejayaan dan keberkesanannya yang dipersembahkan melalui satu pameran. 

"Selain itu, ekspo ini juga boleh menjadi medan untuk mencetuskan idea baru yang boleh dibincang dan dikongsi bagi memperkukuhkan lagi pengisian program Permata," kata Rosmah. 

Sejak 2006, program pendidikan awal kanak-kanak di bawah Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak yang bertemakan "Setiap Anak Permata Negara" yang menawarkan asuhan dan didikan awal khusus untuk kanak-kanak di bawah umur empat tahun, kini pusat asuhan Permata Negara, telah meningkat sebanyak 624 pusat latihan di seluruh negara. 

Selain ekspo ini, turut diadakan ialah persembahan Festival Kesenian 
Kanak-Kanak Antarabangsa di bawah program Permata Seni di Istana Budaya di sini, bermula Khamis lalu sehingga esok, yang juga dibuka untuk tontonan orang ramai. 

Program Permata juga telah melahirkan ramai kanak-kanak yang mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa antaranya dalam bidang muzik, sains dan turut memenangi beberapa pertandingan sains yang diadakan di seluruh dunia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment