My Add

Friday 23 December 2011

Subsidi diesel mungkin dihenti

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
JITRA, JUMAAT, 23 Disember, 2011: Pemberian subsidi diesel kepada nelayan mungkin akan dihentikan sebagai langkah membasmi kegiatan penyelewengan bahan bakar itu yang mengakibatkan kerajaan kerugian berjuta-juta ringgit setiap tahun.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, tindakan tersebut merupakan antara cadangan dipertimbangkan oleh kerajaan dalam pelaksanaan mekanisme baru yang sedang dirangka untuk menangani masalah berkenaan.

Katanya, jika cadangan tersebut dilaksanakan, subsidi kepada nelayan akan diberi dalam bentuk lain seperti menaikkan insentif pendaratan ikan 20 sen per kilogram kepada kadar yang lebih baik.

"Kalau pendaratan ikan banyak, mungkin nelayan terbabit diberi insentif pendaratan sehingga RM2 per kilogram. Sekarang ini kalau bagi minyak diesel subsidi sampai 30,000 liter pun, sepatutnya dapat ikan dalam jumlah tertentu, tetapi tidak dapat banyak pun.

"Jadi untuk masa akan datang, kita tengah kaji sama ada akan menaikkan insentif tangkapan, begitu juga peraturan dalam akta perikanan yang patut diubah suai," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan IPH di Kilang Beras Bernas, Jitra, semalam.

Menurut Mohd. Johari, cadangan lain bagi membendung ketirisan bahan bakar itu ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di pelantar minyak dan penetapan had maksimum kapasiti diesel pada lesen setiap bot.

Katanya, cadangan penetapan kadar maksimum diesel itu adalah bagi memastikan bot itu tidak membawa diesel melebihi jumlah yang dibenarkan.

Ini kerana, katanya, penggunaan diesel berubah mengikut musim seperti musim tengkujuh kekerapan nelayan turun ke laut berkurangan tetapi bot terbabit tetap mengisi diesel pada kadar sama.

"Sepatutnya apabila kurang turun ke laut penggunaan diesel menurun tetapi tetap sama dan hasil pula tidak bertambah. Oleh kerana ada golongan yang tidak bertanggungjawab dengan menyeleweng diesel subsidi, kita terpaksa menguatkuasakan undang-undang atau tindakan yang perlu.

"Kalau tidak kerajaan rugi berjuta-juta ringgit akibat penyelewengan subsidi diesel oleh nelayan," katanya.

Dalam pada itu, mengenai rayuan pemilik kapal perikanan laut dalam (Zon C2) di Kuala Kedah yang mahu kerajaan mengkaji pemansuhan subsidi diesel, beliau berkata, kadar RM1.80 seliter adalah adil kerana mereka merupakan pengguna industri berbanding nelayan pantai pada kadar RM1.25 seliter. - UM

No comments:

Post a Comment