My Add

Tuesday 20 December 2011

Perkukuh persaudaraan Islam

IPOH, SELASA, 20 Disember, 2011: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyeru umat Islam supaya memperkukuhkan persaudaraan sesama mereka.

Katanya, langkah itu penting dalam usaha memastikan umat Islam dapat menempuh pelbagai cabaran yang kini melanda dunia Islam.

''Hubungan sesama Islam ini perlu diperkukuhkan bagi menjamin Islam terus subur tanpa diganggu gugat oleh apa juga anasir,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika meraikan kunjungan 40 ulama dan tokoh agama daripada tiga wilayah dari selatan Thailand ke Perak, di sini baru-baru ini.

Rombongan berkenaan diketuai Yang Dipertua Majlis Agama Islam selatan Thailand, Waedueramhe Maming Chi.

Lawatan tersebut bertujuan bagi membalas kunjungan Perkim cawangan Selama, Perak ke wilayah berkenaan pada 10 Disember lalu yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Mohammd Radzi Awang Keche.

Dr. Zambry seterusnya berharap, selatan Thailand akan kembali mengecapi keamanan agar pembangunan dapat dilaksanakan bagi kepentingan sosioekonomi masyarakat Islam di wilayah itu.

''Di mana juga kita berada umat Islam adalah sama, oleh itu eratkanlah persaudaraan sesama kita demi kepentingan umat dan agama Islam,'' katanya.

Sementara itu berucap di majlis yang sama, Waedueramhe berkata, mereka teruja dan kagum dengan kesabaran serta ketabahan Dr. Zambry dalam mentadbir Perak.

Katanya, walaupun menghadapi tohmahan, fitnah dan kecaman namun Dr. Zambry telah berjaya memaju negeri berkenaan.

Sepanjang lawatan dua hari ke Perak itu, rombongan tersebut mengunjungi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta melawat daerah Selama. - UM

No comments:

Post a Comment