My Add

Monday 12 December 2011

UMNO tidak gentar calon Melayu DAP

PONTIAN, ISNIN, 12 Disember, 2011:
UMNO tidak gentar sekiranya DAP berhasrat meletakkan calon Melayu bertanding di kawasan majoriti kaum itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan bersedia untuk menentang habis-habisan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, langkah meletakkan calon Melayu itu, tidak lebih daripada sekadar gimik politik bagi menunjukkan DAP parti pelbagai kaum tetapi sebenarnya ia tidak berlaku.

"Kalangan pembangkang sebenarnya telah ada persetujuan bahawa bagi kawasan bercampur akan diwakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), kawasan Cina (DAP) manakala kawasan Melayu (Pas). Jika DAP mendakwa, ia parti mewakili semua kaum, mereka hendaklah meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Cina.

"Hasrat bertanding di kawasan majoriti Melayu tidak lain sebagai gimik sahaja dan bertujuan menarik sokongan pengundi Melayu agar menyokong calon mereka," katanya selepas taklimat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pontian di sini, malam semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Nasrihat Turiman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan DAP untuk meletakkan calon Melayu bertanding di kawasan majoriti Melayu, namun hasrat tersebut dibantah Pas Selangor yang menyifatkan ia sebagai tindakan tidak wajar kerana belum dapat diterima masyarakat.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, walaupun DAP ada dianggotai kaum India dan Melayu ketika ini, namun majoritinya masih dikuasai oleh kaum Cina.

"UMNO dan BN mempunyai strategi untuk menolak kehadiran calon Melayu yang mewakili DAP kerana calon tersebut hanya sebagai 'boneka' bagi memenuhi cita-cita politik pakatan pembangkang," tegasnya.

Tambahnya, hasrat DAP untuk meletakkan calon Melayu juga bertujuan memperoleh jawatan Menteri Besar seperti yang mereka tidak mampu lakukan ketika menguasai negeri Perak dahulu. - UM

No comments:

Post a Comment