My Add

Saturday 10 December 2011

Rapid Penang kenalkan laluan baru bagi kemudahan pengguna

GEORGE TOWN, SABTU, 10 Disember, 2011:: RAPID Penang akan melancarkan route 12 bagi memenuhi permintaan orang ramai yang mahukan laluan baru ke Bandar Sri Pinang di Jelutong berkuatkuasa, Isnin depan. 

Ketua Pegawai Operasinya, Soaidin Jamali, berkata pengenalan laluan dari Weld
Quay ke Bandar Sri Pinang adalah selaras dengan usaha untuk penambahbaikan yang berterusan dalam memastikan perjalanan yang lancar, mudah dan mampu dimiliki orang awam di negeri ini.

"Perkhidmatan baru ini akan memenuhi permintaan khususnya bagi penduduk di 
sepanjang Jalan Macallum dan kawasan-kawasan Bandar Sri Pinang. Selain itu, 
kawasan persiaran di Bandar Sri Pinang mempunyai potensi untuk menjadi tarikan 
pelancong dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Kadar tambang bagi laluan baru ini adalah kadar rata RM1.40 bagi perjalanan dalam jarak 7KM yang mengambil masa kira-kira 21 minit dari permulaan, terminal bas Weld Quay melalui Komtar dan Jalan Macallum dan Bandar Sri Pinang. 

"Kami menjangkakan laluan ini akan popular bagi penduduk di kawasan-kawasan 
berhampiran dan berdasarkan permintaan, akan menambah dua bas tambahan dalam masa terdekat," katanya. 

Orang ramai dan penumpang boleh menghubungi talian hotline di nombor 
04-2381313 untuk maklumat lanjut, waktu beroperasi adalah dari jam 5.30 pagi 
hingga 12 tengah malam setiap hari termasuk hari cuti umum. 

Penumpang juga digalakkan melayari laman web Rapid Penang www.rapidpg.com.my; www.facebook.com / rapidpgfans; dan www.twitter.com /rapidpg untuk maklumat lanjut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment