My Add

Monday 12 December 2011

‘Pertahan kesucian Islam’

KLANG, ISNIN, 12 Disember, 2011:
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu masyarakat Melayu di negeri ini supaya bersatu mempertahankan kesucian Islam dan tidak berpecah-belah hanya kerana berbeza ideologi serta fahaman politik.

Baginda bertitah, masyarakat berbilang kaum di negeri ini pula perlu sentiasa bersabar dan mengelak untuk menyakiti hati di antara satu sama lain selain menjauhi budaya fitnah-memfitnah yang boleh menyebabkan negeri ini menjadi huru-hara dan rakyatnya tidak dapat hidup dalam keadaan aman.

“Pada hemat beta, tidak guna negeri Selangor ini diakui sebagai sebuah negeri maju, tetapi keadaan negeri dan rakyatnya bergelora disebabkan oleh berselisih faham antara satu sama lain, baik dari segi politik, agama atau sosial.

“Negeri Selangor akan menjadi mundur dan rakyatnya yang berbilang kaum akan hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan jika tidak sama-sama mendokong dan memelihara keamanan,” titah baginda, lapor MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena hari keputeraan baginda yang ke-66 di Istana Alam Shah, di sini semalam.

Sementara itu, baginda juga mahu melihat taraf hidup rakyat di negeri ini dipertingkatkan dan masalah kemiskinan dapat diatasi supaya mereka dapat hidup dalam keadaan sempurna serta selesa.

“Sesungguhnya adalah tidak bermakna sesuatu kemajuan yang dicapai itu sekiranya rakyat hidup dalam keadaan resah dan ketakutan serta tidak tenteram,” titah baginda.

Terdahulu baginda berkenan untuk menyampaikan darjah dan bintang kebesaran negeri kepada 113 penerima termasuk kepada Penolong Pengarang Prosesan Utusan Malaysia, Nor Sedek Ismail yang menerima pingat Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S). - UM

No comments:

Post a Comment