My Add

Sunday 11 December 2011

Najib tegur pergelutan dalaman SUPP

KUCHING, HAD, 11 Disember, 2011:
PERGOLAKAN dalaman SUPP berikutan pemilihan parti itu sehingga berlakunya insiden boikot oleh kumpulan seorang calon Presiden, Datuk Seri Wong Soon Koh ditegur oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sehubungan itu menasihatkan semua ahli SUPP supaya bersatu selepas pemilihan berakhir.

Tegas beliau, semua pihak perlu sedar bahawa kumpulan yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua kerana musuh politik sebenar adalah pembangkang dan bukannya sesama ahli parti.

"Saya hadir hari ini meskipun SUPP sedang melalui ujian yang amat besar dalam pemilihannya kali ini kerana sebagai Pengerusi BN, keadaan setiap parti komponen adalah amat penting bagi diri saya dan saya juga hadir kerana Sarawak amat penting kepada BN.

"Saya tidak ada tujuan dan niat yang lain, jauh sekali untuk mencampuri urusan dalaman mana-mana parti komponen BN kerana saya cuma ingin melihat SUPP yang kuat dan dihormati oleh masyarakat Sarawak," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan SUPP Ke-22, di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abang Johari Tun Openg yang mewakili Pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Presiden SUPP, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam.

Najib berkata, ahli SUPP perlu sedar bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 sedang menanti dan beliau mahu parti itu bersedia apabila tiba masanya.

"Apabila ia selesai, saya mahu melihat Sarawak menjadi sebuah negeri yang membangun.

"Saya akan bekerjasama dengan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud supaya Sarawak akan terus membangun dan saya memberi jaminan Sarawak akan terus maju dan rakyatnya menikmati kehidupan yang lebih baik di bawah BN," katanya.

Pergolakan dalaman SUPP tercetus apabila kumpulan yang diketuai Soon Koh yang juga Timbalan Setiausaha parti itu mempertikaikan proses pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian dan mahu pemilihan di peringkat pusat ditangguhkan.

Jumaat lalu, Soon Koh yang ditentang seorang lagi calon Presiden iaitu Setiausaha Pengelola SUPP, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui mengumumkan pihaknya memboikot proses pemilihan parti yang berlangsung esok.

Sementara itu, Perdana Menteri pada majlis berasingan selepas merasmikan persidangan SUPP turut melancarkan buku berjudul What Now? mengenai pengalaman kerjaya politik Hong Nam.

Dalam ucapan ringkasnya, Najib berkata, beliau yakin buku tersebut akan dapat memberi manfaat serta peringatan kepada anggota-anggota SUPP dalam menghadapi nasib serta cabaran parti itu pada masa depan.

''Hong Nam telah menyumbang jasa yang besar sejak penglibatannya dalam politik serta pemimpin baik di peringkat parti mahupun kerajaan negeri sebagai Timbalan Ketua Menteri bagi tempoh yang lama," katanya.

Hong Nam yang menyertai SUPP pada 1979 dan menjadi presiden parti selepas pilihan raya negeri 1996 telah mengambil masa selama tiga tahun untuk menyiapkan buku tersebut. MM

No comments:

Post a Comment