My Add

Sunday 25 December 2011

Perpaduan kaum di Malaysia dicemburui pihak luar – TPM

KUALA LUMPUR , AHAD, 25 Disember, 2011: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perpaduan dan keharmonian yang dinikmati masyarakat berbilang kaum di Malaysia amat dicemburui banyak pihak luar.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk terus memelihara keharmonian antara individu dan masyarakat berlainan agama yang menjadi tunjang kepada kemakmuran yang telah lama wujud.

“Membina negara Malaysia yang merdeka dengan rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama bukanlah satu tugas yang mudah.

“Segala-galanya terletak kepada perasaan saling hormat menghormati dan menerima antara satu sama lain yang menjadi kunci utama untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara harmoni dan pesat membangun,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Krismas di sini, semalam.

Muhyiddin dalam pada itu percaya bahawa kesederhanaan dalam amalan agama merupakan benteng paling utuh dalam menjaga hubungan sesama rakyat Malaysia sekali gus membendung amalan ekstremisme dalam mana-mana agama.

Oleh itu, Timbalan Perdana Menteri mengajak seluruh rakyat supaya terus bersikap sederhana dalam mengamalkan kepercayaan agama, selain menerima setiap perbezaan dengan hati terbuka ke arah menyuburkan semangat perpaduan sejak sekian lama.

“Marilah kita bersama-sama menghormati antara satu sama lain lantaran di dalam sesebuah masyarakat berbilang kaum dan agama, menghormati perbezaan agama menjadi prasyarat untuk kehidupan yang lebih harmoni.

“Sama ada kita sedar atau tidak, keharmonian hubungan antara kaum dan agama adalah nikmat paling berharga yang dianugerahkan Tuhan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bertuah ini.

“Pada masa yang sama, adalah sesuatu yang amat menyedihkan sekiranya rakyat mempunyai tanggapan bahawa tanggungjawab mewujudkan dan mengekalkan perpaduan negara hanya dipikul oleh kerajaan semata-mata sedangkan ia sebenarnya turut dipikul oleh semua masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin dan isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyambut perayaan itu dan berharap kemakmuran Malaysia dan perpaduan nasional disertakan di dalam doa masing-masing.

“Terus tradisi kunjung mengunjungi rakan-rakan biar pun berlainan bangsa dan agama dengan menghadiri rumah-rumah terbuka yang dianjurkan dengan meriahnya sempena perayaan Hari Krismas.

“Semangat muhibah yang wujud perlu sentiasa dipelihara dan diamalkan. Kita perlu sentiasa ingat bahawa kita berkongsi masa depan dan hala tuju yang sama. Setiap perayaan kebudayaan mahupun keagamaan yang disambut di Malaysia menjadi satu petunjuk tentang kekayaan dan kekuatan dalam kepelbagaian yang dimiliki rakyat negara ini,” katanya.

Tambah beliau, semangat saling memahami membolehkan rakyat menikmati bersama segala kemajuan dan pembangunan yang dikecapi selama ini dan sehubungan itu kerajaan dan rakyat secara keseluruhannya perlu bekerjasama bagi mengekal serta memperkukuhkan perpaduan negara. - MM

No comments:

Post a Comment