My Add

Friday 9 December 2011

Nik Abduh sedia jadi calon

KOTA BHARU, JUMAAT, 09 Disember, 2011:
TIMBALAN Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz bersedia untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya dikehendaki oleh parti.

Nik Abduh berkata, tidak timbul soal beliau dipilih kerana kedudukannya sebagai anak kepada Mursyidul Am Pas kerana percaya parti hanya memilih calon atas dasar kebolehan dan kelayakan mereka.

"Isu kroni adalah isu lama yang sering didendangkan dalam musim pilihan raya sedangkan semua orang tahu sebarang keputusan bergantung kepada parti. Terpulanglah sama ada hendak bersetuju atau tidak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Nik Abduh diminta mengulas ura-ura yang mengatakan nama beliau termasuk dalam senarai pendek calon Pas dari Kelantan yang akan dibawa ke peringkat Pas Pusat untuk diputuskan.

Jumaat lalu, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengesahkan Pas negeri sudah menyenarai pendek nama calon yang menjadi pilihan mereka.

Nik Abduh bagaimanapun menjelaskan, beliau belum mendapat makluman rasmi mengenai namanya dicalonkan dan hanya mendengarnya daripada khabar angin sahaja.

"Tidak ada sesiapa pun boleh mengesahkan dan mengaku nama mereka sudah tercalon kerana pejabat parti tidak menghantar apa-apa makluman, perkara ini masih peringkat awal lagi," katanya.

"Pada kebiasaannya mereka yang perasan namanya sudah 'lekat' itulah yang akan tersisih namanya pada akhirnya," katanya.

Selain Nik Abduh, menantu kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Ab. Rahman turut disebut-sebut termasuk dalam senarai pendek calon Pas Kelantan. - UM

No comments:

Post a Comment